Seorang pelakon dan pengarah hebat yang berbakat besar Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari ini sememangnya cukup dikenali ramai. Malah kebanyakan filem yang dibintangi olehnya sering meraih sambutan hangat dan pecah panggung. Antaranya Jutawan Fakir, Remp-it, I’m Not Single, Lagenda Budak Setan dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, Farid juga pernah memenangi dua anugerah iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Anugerah Bakat Muda Seni Lakon Negara serta menerima pencalonan untuk kategori Pengarah Terbaik menerusi filem sulung arahannya, V3: Samseng Jalanan.
Baru-baru ini, Farid Kamil yang juga merupakan pengarah filem Remp-It 2 mengatakan mahu membina sebuah litar lumba buat golongan ‘mat rempit’ jika filem tersebut berjaya mencapai kutipan pecah panggung.
Memetik sumber, Farid menjelaskan tujuannya hasratnya itu adalah untuk mencegah mereka dari terus melibatkan diri dengan aktiviti pelumbaan haram di jalan raya.
“Gejala lumba haram menjadi perkara yang sasarkan apabila menghasilkan filem. Apabila jadi pembikin filem, saya ambil tanggungjawab untuk buat sebaik mungkin kepada golongan penunggang motorsikal supaya mereka lebih selamat di jalan raya dan selamat sekiranya ingin berlumba..” katanya.
Tambah suami kepada pelakon Diana Danielle ini lagi, walaupun pernah terbabit dalam aktiviti berkenaan namun kini adalah masa yang tepat untuk mengubah segala-galanya kerana tidak mahu masyarakat Malaysia memandang rendah kepada penunggang motorsikal meskipun mengakui tidak dapat membendung masalah itu pada suatu ketika dahulu.
“Mereka fikir baik meronda bawa awek. Perkara inilah orang kata, bila ada egonya, bawa perempuan, laju dan kawan pula provokasi buat jadi macam-macam. Benda-benda itu yang saya cuba alihkan antaranya dengan buat filem dan hasilkan dialog-dialog yang membina,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Kasyah ini menjelaskan pernah turun padang bertemu golongan ‘mat rempit’ dan turut bercerita mengenai pengalaman serta kesakitan yang dialami seperti patah tangan. Pun begitu, dia turut menasihati perkara yang positif kepada agar tidak terlibat lagi dengan gejala tersebut.
“Saya pernah bagi baju, helmet tapi mereka tak nak pakai. Saya juga nasihatkan agar berlumba di litar tapi mereka tak suka…” jelasnya.