Hari pertama pendaftaran bagi pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Gombak, Selangor amat bermakna buat keluarga Che Esah Mohamed, lapor Astro Awani.
Dalam kesempitan kehidupan, Che Esah sanggup menaiki bas ekspres dari Pengkalan Kubor, Kelantan mengiringi anak perempuannya ke sekolah berasrama penuh.
Selepas selesai sesi pendaftaran, ibu kepada lima orang anak ini akan pulang ke kampung halaman meninggalkan anaknya dengan sekelumit harapan agar beliau berjaya dalam pendidikan.
Hanya doa dan air mata mengiringi perpisahan dua anak beranak ini.
Ini kisah pahit getir Che Esah, warga golongan B40 dalam mengharungi kesempitan hidup untuk memastikan zuriatnya berjaya dalam akademik dan menjadi insan berguna di masa hadapan.
PENGKALAN KUBOR KE GOMBAK
Tinjauan rata-rata mendapati ibu bapa berasa teruja dan gembira apabila anak mereka diberi peluang ke Sekolah cemerlang demi melanjutkan pelajaran dan mencapai cita-cita mereka.
Penulis terus mendekati Che Esah, 50 tahun, yang gigih menaiki bas ekspres dari kampungnya ke Gombak minggu lalu.
Beliau dan anaknya memohon simpati menumpang di rumah saudara mereka di Gombak selama beberapa hari sehingga selesai urusan persekolahan anaknya.
Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya?
Walaupun terpaksa meninggalkan pekerjaannya di sebuah kedai makan dengan pendapatan yang kecil, ia tidak mematahkan semangat Che Esah untuk hadir mendaftarkan anaknya, Nurhani Razak.
PENDAPATAN KECIL
Meskipun hanya berpendapatan RM30 sehari dengan menyara lima anaknya, peluang yang diberikan oleh kerajaan terhadap golongan B40 amat bermakna buatnya.
“Rezeki anak-anak kalau kita tidak ada, cakap sabar minta doa kepada Allah biar tenang hati rezeki mana boleh… Alhamdulilah anak-anak saya belajar duit itu kalau saya pergi kerja dapat memang satu hari habis esok saya kena cari kalau tidak pergi tidak ada, walaupun sedikit tapi cukup Allah bagi,” jelasnya/
Sambil menyeka air mata, Che Esah tersenyum bangga melihat anaknya.
Apabila ditanya tentang yuran persekolahan anaknya, Che Esah spontan berkata, “Makcik tiada duit, yuran yang perlu dibayar melebih RM1,000 tapi makcik dah berkongsi masalah kami dengan cikgu sekolah di sini.”
Jelasnya, beliau telah memberitahu kepada guru di sekolah anaknya tentang kesempitan kewangan yang dihadapi keluarganya.
Atas jasa baik pentadbiran sekolah, Che Esah mendedahkan sekolah akan mempertimbangkan sumbangan daripada Skim Projek Khas oleh Kementerian Pendidikan untuk golongan kurang mampu.
MAHU BELI RUMAH UNTUK IBU
Penulis lantas bertanyakan anak Che Esah, apa yang beliau impikan apabila berjaya kelak.
Jelas Nur, beliau ingin membelikan ibunya sebuah rumah yang besar sebagai membalas jasa ibunya menyara mereka.
“Apa mungkin adik nak beri kepada ibu apabila adik berjaya kelak? Saya nak beli rumah. Saya nak ibu saya selesa dan saya nak jadi Pensyarah Sains,” jelas Nurhani.
Ternyata kisah Nurhaniini boleh dijadikan pembakar semangat buat anak anak golongan B40 dimana peluang yang diberikan kerajaan dalam membuka 60 peratus tempat kepada golongan ini perlu digunakan sepenuhnya.
Untuk rekod, seramai 9,530 murid berdaftar di Sekolah Berasrama Penuh seluruh negara.
Daripada jumlah itu, peningkatan 15.34 peratus pelajar golongan B40 dicatatkan iaitu seramai 4,888 orang.