Setiap individu pasti mempunyai cara tersendiri untuk menghargai seseorang apatah lagi bila seseorang itu banyak berjasa kepada kita tidak kiralah sahabat mahupun ahli keluarga.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita yang dikenali sebagai Siti A’thiyatullah, 23,menghadiahkan sebentuk cincin emas kepada neneknya, Che Anas, 78, yang dipanggil ‘mek’ mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, difahamkan gadis yang senang disapa Tia ini berkata dia terhutang budi dengan nenek yang membesarkannya sejak berusia dua tahun.
“Sudah lama saya pasang niat nak hadiahkan nenek emas. Selalunya saya bagi duit tapi kali ini berbeza sebab saya ada rezeki lebih sikit.”
“Sebenarnya saya dengan nenek sangat rapat selepas umi (ibu) tinggalkan saya dekat mek ketika berusia dua tahun. Umi buat macam tu sebab dia tengah sambung pengajian di Mesir.”
“Jadi neneklah yang jaga dari kecil sampailah ibu bapa saya tamat pengajian dan bekerja.”
“Disebabkan nenek yang membesarkan saya, jadi saya pun bercadang nak hadiahkan cincin dekat dia. Tapi saya nak berikan hadiah tu dalam bentuk kejutan jadi saya dan umi berpakat,” ujar Tia.
Jelas Tia yang menetap di Pasir Mas, Kelantan, pada mulanya ibunya berpura-pura mahu meminta cincin lama kepunyaan nenek untuk dikilatkan di kedai emas.
“Rumah nenek dengan saya bersebelahan saja. Nenek selalu datang rumah kami. Jadi pagi tu dia saja datang berjalan. Umi saja bergurau cakap dekat mek batu permata cincin lama tercabut jadi nak minta kedai cucikan atau beli yang baharu. Nenek hanya tersenyum saja.”
“Umi ambil cincin tu sebab alang-alang nak keluar ke bandar pagi tu. Nenek tak tahu lagi fasal tujuan kami minta ‘pinjam’ cincin tu. Kami pun belikan cincin baharu dengan ukur saiz mengikut ukuran cincin lama mek.”
“Waktu tengah hari tu nenek datang lagi sekali dekat rumah sebab nak ambil cincin lama dia. Waktu itulah kami berikan dia cincin baharu. Masa berikan hadiah itulah saya rakam reaksi nenek,” ujarnya.
Menerusi video yang dimuat naik olehnya di laman TikTok, jelas kelihatan wajah neneknya terkedu dan terharu ketika menerima hadiah tersebut.
“Mek nampak terkejut masa buka box cincin baharu tu. Boleh nampak dia sebak dan terharu lepas tengok cincin saya berikan tu. Nenek nampak macam nak menangis masa dapat tahu saya yang berikan.”
“Mungkin sebab dia fikir cucu yang jaga dari kecil sudah besar sekarang lepas tu boleh bagi benda-benda macam tu. Apa yang saya kecapi hari ini pun berkat doa daripada mek juga.”
“Bagi saya, duit boleh dicari. Momen macam ni tak boleh dibeli. Tia buat bisnes online ni untuk bahagiakan orang sekeliling dulu termasuklah parents dan mek,” ujar Tia lagi.”
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen kagum melihat cara wanita ini menghargai neneknya yang menjaganya ketika umur 2 tahun lagi.
Bukan itu sahaja, netizen juga mendoakan agar rezeki wanita ini tidak putus kerana membahagiakan ahli keluarga sendiri apatah lagi yang pernah berkorban masa, tenaga dan kasih sayang buat kita.
Antara komen warga maya:
Video yang tular di laman TikTok: