Sebagai anak, sudah tentu kita akan melakukan apa sahaja demi melihat kedua orang tua tersenyum gembira. Manakan tidak, kasih sayang mereka sememangnya tiada hijab dan pengorbanannya tidak terbalas.
Walaupun usaha untuk membuat orang tua gembira terbatas setelah pemergiannya namun kita tetap boleh melakukan beberapa perkara seperti menziarahi pusara, merapikan tanaman dan sedekahkan Al- Fatihah serta doa buat mereka.
Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang budak lelaki yang hidup serba serbi kekurangan sanggup membuat kepuk kubur sendiri buat arwah bapanya, Mohd Isa Saad yang meninggal dunia pada tahun lepas mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, Ibunya, Siti Nurul Aini Khamis, 38, berkata, anak keduanya itu, Mohamad Adiffiras, 11, mahu membuat kepuk sendiri kerana tidak mahu kubur bapanya lesap dihanyutkan arus banjir atau hujan lebat.
“Saya ada tiga anak. Anak sulung saya, perempuan meninggal tiga hari selepas dilahirkan pada tahun 2010. Jenazah dikebumikan di kampung mak saya di Johor, manakala kami sekeluarga menetap di Felda Kechau 1, Kuala Lipis, Pahang.
“Jadi, kami cuma balik ke Johor setahun sekali. Kubur kakak Firas tak ada kepuk dan nisan. Dah banyak kali hilang selepas hanyut air. Kami nak buat, tapi jauh dan tak ada duit. Jadi selepas suami saya meninggal, Firas berkeras nak buat kepuk untuk kubur bapanya.
“Dia tak mahu kubur arwah bapanya hilang macam kubur arwah kakak. Firas minta dengan bapa saudaranya untuk beli kepuk dan batu nisan, tapi pakcik dia mampu beli nisan je. Kepuk tak mampu.
“Hari tu, tanah kubur arwah suami saya mendap sebab hujan lebat. Firas menangis, dia takut kubur tu hilang. Sebab itulah dia bersungguh nak buat kepuk sendiri,” ujarnya lagi.
Pada Februari lalu, Firas memunggah batu-bata dari rumah mereka dan mengangkutnya menggunakan basikal untuk membina sendiri kepuk di kubur bapanya yang meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus.
Lebih sayu, Firas menggunakan tanah merah di sekitar kubur untuk menggantikan simen dalam pembinaan kepuk berkenaan.
“Dia minta izin dengan saya nak buat kepuk. Dia bawa batu-bata dari rumah dengan menggunakan basikal. Bila hujan turun, batu-bata tu tergolek. Dia menangis kutip letak balik.
“Saya minta dia bersabar kerana kami tak ada duit. Dia ambil tanah merah untuk bancuh, tapi tak lekat. Dalam hujan lebat dia menangis.
“Jadi saya pun beli simen dalam tiga kilogram (kg) secara dalam talian. Akhirnya kepuk tu pun dah selesai bina. Bila dah siap, dia peluk batu nisan.
“Dia kata ini je dia mampu bagi untuk arwah. Saya ingat dia main-main je masa dia lukis kat rumah, rupanya dia buat betul-betul,” ujar Siti lagi.
Difahamkan, Siti tidak berkerja dan mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak zakat untuk kos perbelanjaan hariannya dan anak-anak.
“Saya hanya suri rumah. Semua anak dilahirkan secara pembedahan, sebab tu arwah tak bagi saya kerja. Anak bongsu juga alami semput, sering keluar masuk hospital.
“Alhamdulillah, saya ada dapat bantuan zakat dan bantuan JKM,” ujarnya lagi.
Perkongsian yang tular:
Sekadar info, Mufti Wilayah Persekutuan, adalah makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya.