Seramai 269 etnik Rohingya dipercayai telah berjaya mendarat di Pulau Langkawi pada hari ini.
Mereka telah menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian di Myanmar, lapor Harian Metro.
Kelibat bot dilihat di Pantai Teluk Nibong
Difahamkan, kelibat bot berkenaan dilihat memasuki perairan negara jam 4.20 pagi semalam di Pantai Teluk Nibong, Langkawi.
Sumber memberitahu Harian Metro, 269 itu terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.
“Selain 269 itu, polis juga sudah menemui satu mayat etnik Rohingya di perairan Langkawi. Mayat itu sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” lapor Harian Metro.
Mereka terjun selepas bot dinaiki karam
Menurutnya, 53 daripada mereka dilaporkan terjun ke laut selepas bot itu karam termasuklah seorang daripada mereka yang ditemui maut itu.
Selain itu, sembilan tekong atau kru bot penyeludupan migran itu dipercayai meninggalkan bot berkenaan menggunakan satu lagi bot selepas memasuki perairan Malaysia.
“Bot itu dipercayai belayar dari kem pelarian Cox Bazar, di Myanmar yang mengambil masa hampir empat bulan untuk tiba di Langkawi,” katanya.
Mereka yang ditahan akan dibawa ke Kem Wawasan Negara
Sumber berkata, bot berkenaan dipercayai membawa lebih 500 etnik Rohingya dan 200 daripadanya dilaporkan mati ketika dalam perjalanan namun pihak berkuasa masih menyiasat perkara berkenaan.
Kesemua pelarian yang terbabit kemudiannya telah dibawa ke Kem Wawasan Negara di Ulu Melaka, Langkawi untuk proses dokumentasi.
Semoga tindakan pantas pihak berkuasa negara kita berjaya menjaga keamanan negara dengan menyekat kemasukan warga asing ke negara kita.