Sudah hampir ke penghujung ramadan pun kita masih dikhabarkan tentang isu ‘scam‘ di bazar ramadan.
Kebanyakan kes yang diceritakan semula oleh mangsa rata-ratanya lebih kurang sama iaitu peniaga menjual secara tidak ikhlas.
Yang lebih kasihan, apabila pembeli berkenaan betul-betul teringin makan sesuatu juadah namun rasanya pulak tidak seperti yang diimpikan.
Persis kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita yang hanya mahu menikmati Burger Malaysia bertukar kekecewaan.
Bagi yang meminati hidangan ini, pasti akan membayangkan roti empuk digoreng, diisi dengan inti sambal ikan bilis dan hirisan timun.
Menerusi perkongsian di Facebook MASAK APA TAK JADI HARI NI OFFICIAL oleh Achik Kechik, menurutnya dia teringin untuk menjamah Burger Malaysia ketika bertugas di sebelah petang.
Pun begitu, tiada masalah baginya untuk mendapatkan makanan tersebut kerana ia boleh didapati di bazar ramadan berhampiran tempat kerjanya.
“Saya tak masak hari ni sebab kerja petang. Jadi, gagah juga turun ke gerai belakang bazar kat tempat kerja.
“Dah lama kempunan nak Burger Malaysia ala orang-orang kampung buat,” tulisnya.
Namun luahnya, Burger Malaysia yang dibeli pada harga 70 sen sebiji di sebuah bazar ramadan di Pulau Pinang sekadar indah khabar dari rupa.
“Rupanya saya kena scam. Orang nak berniaga, dia pun nak berniaga.
“Begini la rupanya, roti sos ikan bilis liat hangit. Bukan burger malaysia,” tulisnya lagi.
Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik, Burger Malaysia itu hanya mengandungi secalit sos bersama beberapa potongan ikan bilis.
Sudahlah rasanya liat kerana hangit, makanan tersebut juga tidak lengkap tanpa hirisan timun, apatah lagi sayur seperti kebiasaan.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata bersimpati dengan wanita ini. Bukan itu sahaja, mereka turut sakit hati dengan tindakan peniaga yang menganiaya pelanggan.
Berikut antara komen-komen yang diberikan oleh netizen di Facebook
“ya Allah tergamaknya jual mcm tu.. aku tengok pun tak selera apatah lagi org yg teraniaya tu.. macam mana perasaan dia masa packing burger Malaysia ni takkan dia tak rasa bersalah sapu sos dengan ikan bilis hangit gitu..“
“Esok, pergi semula kat gerai berkenaan. Jangan marah pula.
Kata kat perhniaga tu,
“Burger Malaysia anda mmg lain dari yang lain. Saya teringat ingat hingga kini. Terima kasih”.”
“Peniaga kalau makanan yg dia jual tu dia sendiri pun taknak makan bermakna dia bukan peniaga yg jujur..apatah lagi yg mcm ni memang nak menipu “