Seorang guru wanita berd4rah k4cukan Arab dan Siam di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap, Kuantan, menarik perhatian apabila wajah ayu dimiliki membuatkannya mudah didekati terutama murid Tahun Satu.
Nor Shahifa Norlan, 26, dari Kota Bharu, Kelantan, berkata, beliau dipertanggungjawab sebagai guru penyelaras Tahun Satu dan mengakui sedikit sibuk pada hari pertama pendaftaran persekolahan.
“Sudah tiga tahun saya bertanggungjawab menguruskan murid yang baharu memasuki alam persekolahan dan ia sedikit mencabar kerana mereka memerlukan perhatian khusus.
“Namun, saya tetap gembira melayan telatah mereka dan cuba yang terbaik untuk menguruskan mereka terutama pada hari pertama persekolahan,” katanya ketika ditemui di SK Sungai Isap, di sini, hari ini.
Lebih mesra disapa Miss Ifa, beliau yang berpengalaman selama tiga tahun dalam dunia pendidikan mengakui tugas hakiki sebagai seorang pendidik hari ini memerlukan mereka untuk pandai berkomunikasi dengan baik.
Katanya, cabaran menguruskan murid terutama Tahun Satu memerlukan kesabaran tinggi selain kemahiran psikologi untuk memastikan mereka terus kekal mengikuti arahan yang diberikan.
“Profesion guru semakin hari semakin mencabar, namun kami perlu tempuhi bagi memastikan generasi muda mendapat pendidikan yang berkualiti,” katanya yang mengajar Bahasa Inggeris.
Beliau memaklumkan seramai 187 murid Tahun Satu didaftarkan di SK Sungai Isap, hari ini, dengan pecahan 107 murid perempuan dan 80 murid lelaki.