Jika anda pernah ke negara Indonesia pasti tahu tentang sebuah kampung pelancongan di daerah Malang dimana kesemua rumah kediaman penduduk di cat berwarna warni.
Kampung ini menjadi satu destinasi pelancongan wajib untuk sesiapa yang berkunjung ke sana lebih-lebih lagi yang suka menangkap gambar.
Namun begitu, lain pula halnya di sebuah perkampungan Jawa Timur dimana batu nisan dan makam di cat dengan pelbagai warna oleh penduduk tempatan.
Menerusi laporan Kompas, penduduk kampung mengambil bahagian dalam pertandingan membersihkan kubur yang dianjurkan oleh Jabatan Pemukiman di sana dan berjaya dinobatkan sebagai juara.
“Kami bersama-sama mengecat tapak perkuburan ini untuk menghilangkan rasa takut disamping mengikuti pertandingan.
“Keputusan untuk memberi warna pada tapak perkuburan ini merupakan salah satu inisiatif untuk menghias makam,” kata penjaga kubur, Gunawan ketika ditemui di lokasi.
Tambah Gunawan lagi, sebanyak 50 liter cat digunakan untuk memberi warna pada makam dan batu nisan di tapak perkuburan tersebut. Penduduk kampung memakan masa satu bulan mengecat seluruh perkuburan.
Setiap batu nisan dan makam diberikan pelbagai warna dari hijau, merah sehinggalah warna ungu.
Walau bagaimanapun, sebelum memulakan projek ini, penduduk kampung telah meminta izin daripada waris.
Bukan hanya batu nisan malah dinding dan jalan untuk ke tapak perkuburan itu juga di cat dengan warna warni.
Selain mengecat batu nisan, penduduk kampung juga menanam bunga di sekitar makam.
Melihat perubahan pada tapak perkuburan itu ramai penduduk setempat teruja dan mula mengunjungi dan mengambil gambar.
Malah dengan adanya lampu yang dipasang, tapak perkuburan ini masih dilawat dan penduduk tidak takut untuk bergambar pada waktu malam.
Rata-rata netizen memberikan respon yang bercampur baur di mana ada yang menganggap ianya tidak sesuai memandangkan kubur sepatutnya bukan tempat untuk bergembira tetapi mengingatkan kita kepada kematian.