Setiap pasangan yang menjalinkan hubungan percintaan pastinya mengimpikan fasa yang lebih jauh seperti pertunangan, pernikahan dan persandingan.
Namun tak dinafikan bahawa walaupun hanya sekadar merisik, ianya pasti merupakan situasi yang paling mendebarkan untuk pihak lelaki.
Sama juga lah dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohammad Azizul Idris, 25, yang tidak lari daripada perasaan gelisah, menanti jawapan daripada keluarga sebelah perempuan ketika kunjungan rombongan meminang oleh keluarganya.
Memetik laporan mStar, adik perempuannya Noraina Idris, gadis berusia 24 tahun ini dilihat ‘menipu’ abangnya yang sedang gelisah menunggu di dalam kereta di hadapan rumah keluarga bakal tunangnya di Pulau Pinang ketika keluarganya pergi meminang.
Adiknya tiba-tiba datang ke kereta dan memberitahu bahawa nilai hantaran dinaikkan kepada RM15,000, bukan RM10,000 seperti yang dirancang dan reaksi cuak jejaka itu menjadi perhatian netizen.
“Masa keluarga saya pergi masuk meminang tunang abang di Bukit Mertajam, dia tunggu dalam kereta sendirian. Bila majlis selesai saya panggil abang masuk rumah.”
“Sengaja saya sakat dia, tipu harga hantaran yang keluarga tetapkan. Sepatutnya RM10,000 saja dah deal sebelum tu dengan pihak perempuan.”
“Saya cakap dekat dia Wey dah… RM15,000!. Bila dia dengar harga tu, terus terbeliak mata dan tanya saya banyak kali betul ke? sebab nak dapatkan kepastian,” ujarnya
Difahamkan, aina masih tidak dapat melupakan reaksi abangnya yang terkejut dan tertanya-tanya mengenai nilai hantaran itu dan masih tertanya-tanya.
“Sebaik masuk rumah tunangnya dan lepas salam bakal ayah mentuanya, dia masih tengok saya dari jauh.”
“Saya kesian tengok dia masa tu sebab dah gelisah. Tapi selepas saya bagi isyarat tanda gurau dan geleng kepala, dia pun OK semula.”
“Ye lah, sebab sebelum ni dah setuju harga lain. Abang saya ni buat part-time kerja dengan Lalamove nak kumpul duit kahwin,” jelasnya lagi.
Gadis itu juga mengakui bahawa perasaan sediah membelenggu diri apabila mengenangkan abangnya yang bakal berkahwin kelak.
“Saya rasa sedih juga masa abang kata nak kahwin. Tapi saya tak halang atau marah sebab yang lebih penting adalah kebahagiaan dia.”
“Jarak umur kami pun setahun je jadi saya memang rapat dengan dia dari kecil. Saya memang dah biasa gurau kasar dengan dia dari dulu,” jelas Aina.
Video yang tular:
“Lepas post video tu saya terus tidur malam tu sebab penat. Esok saya bangun tengok balik, dah viral pula. Abang saya pun OK je saya post video tu kerana anggap sebagai gurauan.
“Tunang abang saya ulang tengok video tu banyak kali sebab cara jalan dia tu yang lawak. Sebenarnya abang jalan macam tu sebab seluar dia pakai hari tu agak ketat. Mungkin campur dengan perasaan nervous pula lepas saya usik pasal nilai hantaran,” tambahnya.
Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 950.2K tontonan, 71.1K tanda suka, 428 komen dan 809 perkongsian di applikasi TikTok.