Dah kalau namanya tuan kucing, terpaksalah menghadap kerenah si anak-anak bulus. Ada yang nakal sehingga menyakitkan hati, namun ada pula yang terlebih manja!
Bagaimanapun, kerenah-kerenah kucing inilah yang membuatkan kita kadang-kadang ketawa sendirian melihat gelagat comel mereka.
Seperti yang dikongsikan di TikTok baru-baru ini oleh @cikiyuucattery, ekor anak kucingnya tiba-tiba ‘luruh’!
Menurut pemilik kucing berbaka British Short Hair (BSH), Eja Saad, 33, kucingnya terputus ekor akibat tersepit laci selepas dilahirkan pada 1 April lalu.
Dia turut memperincikan situasi berkenaan kucing peliharaannya, Grey yang terputus ekor pada tempoh hari.
“Hari tu saya baru saja balik dari tempat kerja. Saya perasan perut kucing betina saya yang bunting tu dah kempis.
“Saya syak dia dah beranak cuma tak tahu di mana, jadi merata tempat dalam rumah saya cari anak dia. Rupanya ada dalam laci dekat kawasan gelap.
“Laci tempat dia beranak tu pula dekat bucu jadi kemungkinan si Grey ni dihempap mak sendiri. Ruang laci tu agak sempit jadi mungkin dia terkepit. Tapi adik beradik Grey lagi tiga ekor tu selamat,” kata Eja yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur.
Selepas kejadian tersebut, Eja dapati ekor Grey kelihatan kecil dan terbantut setelah lebih kurang sebulan setengah.
Risau melihat keadaan Grey, dia segera membawa anak kucingnya itu ke klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Risau juga bila tengok ekor dia macam tu. Jadi saya bawa pergi jumpa doktor tapi doktor cakap tak ada masalah serius cuma kena perhatikan najisnya saja supaya tak terkena jangkitan bahagian luka.
“Saya cuma guna iodin saja untuk sapu bahagian luka bagi cepat kering. Tapi luka tu pun ambil masa tiga hari saja dah sembuh. Lepas lebih sebulan dia tersepit, saya tengok darah macam tak mengalir sampai ke hujung ekor sebab tu macam kecut.
“Pada 23 Mei, bangun saja dari tidur saya tengok dekat depan rumah ekornya dah tertanggal,” kata Eja yang terkejut semasa terjumpa ekor Grey yang sudah putus.
Kata Eja, Grey merupakan seekor kucing jantan yang aktif bermain walaupun separuh daripada ekornya ‘hilang’. Oleh itu, kurang sedikit rasa risaunya terhadap kesihatan Grey.
“Dia sangat hyper dan kuat main. Dalam bekas air minuman pun dia masuk. Masa putus ekor tu lebih pada kasihankan dia. Tapi bila tengok dia punya kenakalan tu terus hilang rasa kasihan, geram lagi adalah.
“Sekarang tengok dia dengan ‘ekor arnab’ jalan terkedek-kedek tu comel saja. Grey seekor saja jantan, adik beradik lain semua betina. Dia pure breed BSH sebab mak ayah dia dua-dua ekor ada certificate. Saya akan mandulkan mereka bila dah besar sikit nanti,” katanya.
Eja yang bekerja di bahagian peruncitan kini memiliki empat ekor kucing dewasa dan tujuh ekor anak kucing!
Video yang tular di laman TikTok