Berita baik buat rakyat Malaysia, mulai 1 Februari nanti anda tidak perlu lagi beratur di akunter semata-mata untuk memperbaharui lesen memandu.
Menerusi satu kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia boleh diperbaharui secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari ini.
Menerusi laporan Malaysia Gazette, ia bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ secara digital.
“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa di mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).
“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital.
“Malah ia menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan memberikan rebat sebanyak RM5 kepada orang ramai yang memperbaharui lesen memandu secara digital.
“Mereka yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) semasa pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5.
“Rebat ini akan dinikmati sepanjang 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember 2024,” katanya.
Katanya lagi, inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan lesen sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ termasuk Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad.
“Inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas, permit jangka masa panjang, Kad MyKAS atau Kad MyPR,” katanya lagi.