Pihak pengurusan stesen televisyen Awesome TV mengambil keputusan menggugurkan nama pengacara, Azwan Ali atau Diva AA daripada mengacara program realiti, Mic On! berkuat kuasa serta-merta bermula semalam.
Sehubungan dengan itu, pentas utama MIC ON! yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini akan dikendalikan secara solo oleh pengacara bersama sedia ada, Issey Fazlisham.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program MIC ON! untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat.
Memetik laporan Metro, Azwan Ali ketika dihubungi berkata persoalan tentang sebab sebenar mengapa dia digugurkan itu sebagai pengacara program realiti itu sepatutnya diajukan kepada pihak pengurusan Awesome TV yang mengambil keputusan tersebut.
“Mereka boleh cakap apa saja, dipersilakan. Allah Maha Berkuasa. Tunggu sajalah nasib mereka, karma itu pasti ada.
“Saya tak rasa apapun, malah saya tetap kaya-raya dan disambar sana-sini oleh pihak produksi. Saya tak hairan dan tak hadap sebenarnya tawaran ‘ciput’ ini, tapi saya buat demi peminat.
“Mereka boleh pertahankan kru dan wakil pengurusan, tapi saya juga ada prinsip hidup sendiri. Jangan main-main dengan saya.” – kata Azwan Ali.
Azwan berharap pihak Awesome TV tidak sesekali mempergunakan orang sesuka hati dan selesaikan hutangnya secepat mungkin.
“Bayar hutang saya sebelum saya buat laporan polis. Sudahlah bayar ‘ciput’. Jangan sesekali menggelupur mempergunakan orang, saya tak hadap.
“Penonton tengok Mic On sebab saya. Jangan nak kurang ajar dengan saya. Mereka ingat mereka besar sangat. Mereka aniaya saya, tunggu karma yang bakal menanti.
“Ada benda kurang ajar sudah berlaku. Jangan tanya saya, tapi tanya kepada mereka apa benda kurang ajar yang saya dakwa sudah berlaku dalam pengurusan Awesome TV. Saya takkan dedahkan tapi suruh mereka keluarkan kenyataan media.
“Saya bila-bila masa boleh ke balai polis dan menggunakan khidmat peguam saya. Selagi hutang saya tak bayar jangan terkejut kalau ini jadi kes polis,” katanya.
Tambahnya, disebabkan dia pengacara rancangan tersebut maka menarik penonton melihat program itu. Malah, Azwan berharap pihak penyiar tidak sesekali mempergunakan orang sesuka hati dan menyelesaikan hutang mereka secepat mungkin.
Akan tetapi, apabila disoal mengapa namanya digugurkan, Azwan Ali enggan mendedahkan punca dan Azwan mahu pihak pengurusan yang mengeluarkan kenyataan media.
Sumber: Harian Metro