Adik kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Ali Puteh yang juga merupakan seorang pelawak mengulas isu mengenai beliau dan kakak iparnya Nor Hidayah.
Terdahulu, Ali Puteh dan keluarga kakak iparnya sebelum ini pernah terpalit dengan isu berhubung dakwaan membolot harta arwah Abam.
Ekoran daripada itu, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua belah pihak telah retak dan menyebabkan mereka tidak berhubung antara satu-sama lain.
Ali puteh rindui anak arwah abangnya
Menerusi laporan yang dipetik dari Berita Harian, Ali Puteh turut meluahkan rasa rindu ingin melihat wajah anak lelaki arwah abangnya iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang baru sahaja berusia 10 bulan.
Selain itu, Ali Puteh turut mengakui bahawa dia dan keluarganya kini sangat merindui anak saudaranya itu.
Apa yang lebih menyedihkan adalah apabila mereka sekeluarga langsung tidak berkesempatan untuk melihat wajah anak kecil itu.
Mereka sekeluarga telah disekat di media sosial
Menurut Ali lagi, keluarga kakak iparnya itu telah menyekat mereka sekeluarga di media sosial.
“Sejak insiden itu, hubungan kami terputus. Malah, kami disekat di media sosial oleh seluruh anggota keluarganya”ujar Ali.
Berkongsi kisah itu, Ali Puteh memberitahu dia tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai hal tersebut.
Saya faham, situasi semakin sukar
Malah dia faham akan situasi yang dilalui oleh kedua-dua keluarga lebih-lebih lagi selepas apa yang pernah berlaku sebelum ini.
“Saya faham, selepas apa yang berlaku, situasi menjadi semakin sukar”.
“Cuma terkilan apabila tidak dapat berjumpa anak saudara. Hendak tengok di media sosial mereka tidak boleh sebab sudah disekat”ujarnya.
Mujur bekas pemandu arwah memuat naik foto Uthman
Dalam pada itu, Ali Puteh meluahkan rasa syukur kerana akhirnya terubat sedikit rindu kepada anak saudaranya dengan melihat foto dan video yang dimuatnaik oleh bekas pemandu arwah Abam di media sosialnya.
“Mujur bekas pemandu arwah memuat naik foto atau video Uthman di media sosialnya, dapat kami menumpang tengok sambil melepaskan rindu,”ujarnya lagi.
“Insya-Allah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya berhasrat bertemu isteri arwah dan keluarganya untuk menjernihkan keadaan”.
“Kami mahu melihat anak buah yang amat dirindui itu“.
Biarlah saya tengok di media sosial sahaja
“Buat masa ini, biarlah saya tengok Uthman dalam media sosial sahaja. Dapat melihat dia sihat dan membesar dengan sempurna sudah cukup menggembirakan kami sekeluarga,” luah Ali.
Sebelum ini Ali puteh pernah merancang untuk berjumpa dengan ahli keluarga kakak iparnya itu.
Ia bertujuan untuk menyelesaikan kemelut antara mereka tetapi sayangnya niat Ali Puteh terbantut selepas mereka tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain kerana telah disekat.
Semoga segala salah faham yang timbul dapat dileraikan dan semua pihak dapat berbaik semula.