Pemergian seorang guru akibat tergelincir ketika membuat persediaan pembukaan semula sekolah pada tengah hari semalam mengejutkan kita semua.
Allahyarham Rosle Abdul Aziz, 54, difahamkan tergelincir dari balkoni belakang tingkat satu di SK Batu Gajah, ketika melakukan pemeriksaan sempena pembukaan sekolah itu.
Menurut anak sulungnya, Muhammad Zulhakim, 21, dia tidak menyangka sikap pelik yang ditunjukkan bapa sejak seminggu lalu merupakan petanda bapa bakal pergi buat selama-lamanya.
“Abah selalu tidur awal, namun sejak seminggu lalu, dia sanggup meluangkan masa dengan anak sehingga kami semua masuk tidur pada 12 tengah malam…”
“Memang agak pelik dan tidak menyangka itu petanda abah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya…”
Sehubungan dengan itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Radzi Jidin telah hadir ke Tanah Merah bagi menziarahi jenazah allahyaraham disana.
Beliau bergegas dari Parlimen petang semalam dan terus menuju ke kediaman allahyarham Cikgu Rosle Abdul Aziz bagi bertemu dengan keluarga allahyarham.
“Dari Parlimen jam 7:00 petang tadi kami berkereta ke Tanah Merah, Kelantan, untuk menziarah keluarga Arwah Cikgu Rosli bin Abd. Aziz, guru di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah.
“Kami sampai di Hospital Tanah Merah sebelum tengah malam dan sempat bertemu isteri dan anak-anak arwah.
“Warga KPM kehilangan besar seorang guru yang berdedikasi. Kami doakan semoga keluarga arwah tabah menghadapi ujian ini.”
Beliau turut sempat ke Hospital Tanah Merah dan bersama kariah Masjid Tanah Merah menguruskan jenazah allahyarham semasa dikebumikan.
“Alhamdulillah, usai solat subuh pagi tadi, ratusan jemaah turut menyertai solat jenazah Arwah Cikgu Rosli bin Abd. Aziz di Masjid Besar Tanah Merah. Kami dimaklumkan oleh imam Masjid, antara hajat arwah adalah agar jenazah beliau disolatkan di Masjid Besar Tanah Merah.
“Kemudian, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pondok Lama, Tanah Merah untuk dikebumikan.
“Semoga seluruh ahli keluarga arwah diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian ini.”
Dr Radzi turut mendoakan keluarga allahyarham diberi kesabaran ketabahan dan kekuatan untuk menghadap ujian ini.
Menerusi tinjauan YOY Network di ruangan komen, rata-rata netizen terharu dengan usaha Menteri pendidikan yang hadir sendiri ke Tanah merah untuk menziarahi Allahyarham.
Semoga selepas ini akan diwujudkan satu SOP yang lengkap bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi.