Ketetapan hakiki, jodoh, ajal dan maut di tangan tuhan. Kita sebagai hambanya perlu menerima dengan hati yang terbuka kerana tiada siapa yang mampu menidakkan takdir Allah.
Terkadang pemergiannya itu tidak disangka-sangka dan cuma diberikan ‘hint’ sahaja sebeum menghembuskan nafas terakhir.
Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita yang dikenali sebagai Nur Rieziyana Md Zamri terpaksa membesarkan empat orang anak tanpa suami disisi setelah suaminya Ahmad Amirul Shaqim Abd Rahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Jun tahun lalu mencuri perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, suami kepada wanita yang berusia 31 tahun ini pergi menuju ke ‘negara abadi’ seminggu selepas dia melahirkan putera bongsunya.
“Suami saya menghidap masalah injap jantung. Dia pernah jalani pembedahan pada usia 17 tahun. Pada Mac tahun lepas, dia jalani pembedahahan tukar injap jantung lagi sekali.”
“Selepas pembedahan, berlaku jangkitan. Dalam dua ke tiga bulan juga dia di hospital sehinggalah arwah dibenarkan discaj sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Memang teruja sampai dia nak kemas beg pakaian sendiri pada waktu itu.”
“Ketika raya, saya sempat bawa dia jumpa mak ayah saya dan jumpa ahli keluarga yang lain. Rasanya dia sihat dalam lima hari saja. Kemudian dia terus demam selama dua minggu. Tapi dia tak mahu ke hospital, arwah kata dia dah penat masuk hospital. Jadi dia hanya ke klinik dan bergantung kepada ubat macam biasa,” imbasnya.
Difahamkan, suaminya juga turut menunjukkan perubahan sikap selain tidak mempunyai selera makan kerana apa saja yang dijamah berasa pahit.
“Dia juga tak boleh dengar apa yang saya cakap dan ketika itu juga dia mula tanya soalan-soalan pelik.”
“Contohnya, dia tanya sekarang pukul berapa? Apa warna cat bilik kami? Dia kata nampak warna hijau sedangkan bilik kami warna putih. Kadang-kadang dia nampak semua benda jadi kecil.”
“Pada 30 Mei dia masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) balik. Ketika sampai ke unit kecemasan, doktor kata keadaan suami dah 50-50. Doktor minta saya bersabar. Tapi saya macam tak percaya, tak jangka jadi macam tu,” ujarnya.
Tidak cukup dengan itu, pada waktu itu dia dilanda kesedihan melampau memandangkan dirinya sedang sarat hamil dan menanti hari untuk melahirkan cahaya mata keempatnya.
“Ketika hamil, dia macam pernah bagi hint. Dia tanya sama ada saya dah maklumkan pada ibu untuk teman saya bersalin? Saya rasa pelik pada waktu itu, kenapa ibu nak teman, sedangkan dia ada.”
“Tapi arwah kata dia risau dia tak larat, sebab tu dia pesan supaya saya minta pertolongan ibu saya. Ketika saya bersalin, dia masih dalam ICU. Saya ada hantar mesej, tapi dia tak sempat baca. Saya mesej maklumkan yang ‘adik’ dah keluar (dilahirkan),” ujarnya lagi.
Dia yang kini sedang mencari kekuatan untuk membesarkan zuriatnya bagaimana pun berniaga pewangi kereta dan pewangi rumah serta benih ikan talapia untuk menyara kehidupan.
“Selepas bersalin anak kedua dulu, suami cakap dia tak nak saya kerja. Dia mahu saya jaga anak. Kiranya saya memang suri rumah sepenuh masa. Suami dulu kerja dengan syarikat oil and gas, tapi dia dah berhenti atas faktor kesihatan, kemudian dia banyak uruskan infaq ke rumah anak-anak yatim.”
“Bila suami dah tak ada, saya pun tak ada pendapatan. Saya teruskan hidup dengan simpanan yang suami tinggalkan sikit. Tapi tetaplah saya kena buat sesuatu, jadi saya berniaga pewangi kereta dan rumah secara online.”
“Tambahan pula anak sulung saya baru bersekolah. Dulu semua suami uruskan, dari sekecil-kecil hal baju atau susu, suami yang banyak buat keputusan. Sekarang saya kena buat sendiri, saya bagaikan budak baru belajar. Saya kuat sebab sokongan keluarga,” ujarnya.
Apa yang membuatkannya bertambah sebak adalah apabila anak sulungnya meluahkan rasa rindu untuk pergi bercuti dengan arwah suaminya.
“Kali terakhir kami bercuti ke Melaka pada awal Januari 2021. Sekarang musim cuti, bila tengok keluarga orang lain, memang akan terasa. Sebab arwah dulu kaki jalan-jalan.
“Saya dengar anak sulung saya cakap, dah lama tak jalan-jalan. Ada suatu hari, dia pandang tingkap dan baca Al-Fatihah untuk arwah. Dia kata sedih memikirkan ayahnya dalam kubur,” imbasnya sebak.
Video yang tular di laman TikTok:
@rieziyanaAirmata Seorang Suami.. 7/6/2021 tak sangka Allah jemput dia.. tinggalkan 3 putera & 1 puteri yg masih kecil 😢😢 Selamanya akan merindumu ayah..
♬ Ya Allah – Wali
Untuk rekod, Rieziyana dan suaminya mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Aqiel Zafri, Ayra Zafira, Arieq Zareef dan Arasy Ziqri.