Dikritik Rakam Muzik Video Dalam Gereja, Ismail Izzani Beritahu Ada Sebab
Penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Ismail Izzani memberitahu dia bersedia untuk berdepan dengan kecaman netizen yang tidak senang dengan tindakannya membuat penggambaran muzik video untuk lagu terbarunya berjudul Ada Cara di sebuah gereja.
Walaupun sedar pemilihan lokasi penggambaran video muzik tersebut akan menimbulkan sensitiviti, Ismail berkata dia mempunyai sebab kukuh dan berpegang pada mesej yang yang mahu disampaikan menerusi lagu berkenaan.
Menurut Ismail, dia bersedia dengan segala kemungkinan dan hanya mahu menekankan mesej yang ingin disampaikan.
“Saya bersedia dengan segala kemungkinan. Cuma apa yang saya mahu tekankan ialah mesej yang cuba disampaikan dalam video video ini.
“Saya mahu penonton nampak jalan cerita tentang sepasang kekasih tetapi berbeza agama.
“Saya memilih gereja supaya senang orang faham konteks jalan cerita Ada Cara menyentuh soal agama. Jadi saya tidak rasa ada yang salah,”
Pengalaman baru buat dirinya
Menurut Ismail lagi, penggambaran video muzik yang dilakukan di sebuah gereja di Damansara, Petaling Jaya itu turut memberi pengalaman baru buat dirinya dan akui kekok pertama kali masuk ke tempat berkenaan.
“Mestilah rasa pelik sebab ini kali pertama saya masuk ke situ. Rasa tidak biasa dan kekok. Sampaikan saya terpaksa ambil masa selama setengah jam untuk bersedia sebelum memulakan penggambaran.”
Buat yang terbaik
Walau bagaimanapun, bagi Ismail sendiri dia perlu buat yang terbaik demi menyampaikan mesej kepada penonton.
“Tetapi apabila fikirkan tentang mesej yang ingin disampaikan kepada penonton, saya perlu buat yang terbaik.
“Lirik lagu ini sendiri pun sudah mendalam, ditambah dengan visual dalam gereja membuatkan hasilnya sangat mengagumkan.”
“Apatah lagi lagu ini berkisar tentang agama. Kisah cinta seorang lelaki yang berpegang teguh kepada agamanya. Manusia berbeza tetapi Tuhan hanya satu dan lelaki dalam lagu memilih Tuhannya,” katanya.
Rata-rata netizen mengecam tindakannya itu yang dikatakan tidak sensitif dengan agama Islam.