Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil pasti faham akan perasaan ketakutan jika kehilangan anak di tempat-tempat awam sebagai contoh pusat membeli belah.
Bagaimanapun, dengan zaman yang semakin canggih, ibu bapa tidak perlu risau lagi kerana sudah semakin banyak alat memantau anak kecil dijual di pasaran. Contohnya safety harness.
Safety harness atau tali keselamatan yang dipakaikan di pergelangan tangan si kecil yang aktif. Pun begitu, alat ini sepertinya masih taboo di kalangan rakyat Malaysia.
Mereka yang tidak memahami fungsi kegunaan alat ini terlalu cepat mengadili sehinggakan menimbulkan spekulasi negatif terhadap ibu bapa yang mempraktikkan ciri keselamatan tersebut.
Menerusi satu perkongsian yang dibuat oleh seorang ibu bernama Nazza Hamat di Facebook, dia terkilan apabila inisiatif yang diambil untuk keselamatan anaknya dipandang serong segelintir pihak.
“Semalam saya pergi shopping mall pakaikan anak tali macam ni. Saya tahu perangai anak saya, dia tak suka orang pimpin tangan… suka jalan sendiri. Kalau kami lepaskan tangan dia, tak sampai dua saat lari serupa lipas kudung.
“Semua orang tengok semalam, tapi tengok dengan pandangan yang pelik… tak tahu kenapa. Mungkin mereka fikir kami agak melampau dengan ikat anak macam tu. Ramailah juga gelakkan saya semalam,” tulisnya.
Selain itu, ada juga yang mulut-mulut celupar yang mengatakan tindakannya menggunakan tali keselamatan kepada anak adalah seperti mengikat haiwan.
“Yang tak boleh terima ada sorang lelaki tu, bukan main kuat dia gelak. Adalah terdengar dia cakap dah macam ikat menate (binatang) dah.
“Saya rasa nak cili saja mulut dia terlalu kurang ajar. Dah tua kut dia bukan budak, mulut jahat.
“Saya beritahu suami, dia cakap ikut dialah. Kalau anak kita hilang bukan dia tolong cari pun. Kita yang menangung sengsara,” kongsi Nazza.
Nazza akui, pengalamannya yang pernah kehilangan anak sebanyak dua kali sebelum ini cukup mematangkannya. Namun dia kecewa dengan persepsi orang ramai yang masih tidak mengambil pelajaran daripada kisah kehilangan anak di tempat awam sebelum ini.
“Cukuplah anak saya dah dua kali hilang. Tak sanggup dah nak lalu benda yang sama, mahu jadi gila saya nanti.
“Tak tahulah kan masyarakat kita ni, payah sangat nak ambil iktibar daripada pengalaman orang lain. Dah ramai kut yang share pengalaman anak hilang, pemikiran kuno sangat. Cuba open minded sikit,” katanya.
Tambah Nazza, dia lebih sanggup menggunakan safety harness berbanding kehilangan anak.
“Dekat negara barat benda macam ni dikatakan wajib dah bagi mereka. Kita saja dekat Malaysia orang akan pandang kita jelik.
“Pandang macam kita mak bapa jahat, mak bapa yang pentingkan diri. Kalau anak saya hilang kamu nak tolong carikan ke?
“Baiklah saya buat macam ni daripada menyesal kemudian hari. Yang ketawakan saya semalam, satu hari nanti anda ada anak jagalah anak baik-baik. Jangan anak dah hilang menyesal sepanjang hayat.
“Menangis air mata darah sekali pun dah tak guna dah,” katanya.
Hantaran yang pernah tular pada 2017 ini kini kembali tular selepas dikongsikan semula oleh warganet di media sosial. Rata-rata netizen bersetuju dengan usaha yang diambil Nazza dan suaminya dalam memastikan keselamatan anaknya.
Video yang tular di laman Facebook