Sambutan Hari Kemerdekaan merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Momen yang berharga itu kebiasaannya ditangkap menerusi gambar dan juga video sewaktu di acara tersebut.
Namun begitu, penggunaan dron dilarang sewaktu berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Menerusi laporan Bernama, orang ramai telah dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa sewaktu berlangsungnya acara tersebut di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti.
Berdasarkan hantaran laman Facebook pengguna Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), hal ini dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini yang melibatkan faktor keselamatan orang awam.
Selain itu, dapat mengurangkan risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan berkenaan.
“Suka diingatkan bahawa semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs),” menurut CAAM berhubung isu tersebut.
Kesalahan menerbangkan dron tanpa kebenaran ini jatuh di bawah kesalahan Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000,” jelas CAAM.
Sekadar info, terdapat 18 jalan utama di sekitar pusat bandaraya akan ditutup dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari pada 26 hingga 29 Ogos dan 31 Ogos 2022 bagi menjayakan perarakan di Dataran Merdeka pada esok hari.
“Dua jalan akan ditutup sepenuhnya pada 26 Ogos ini bagi memberikan laluan raptai skeleton dilakukan, membabitkan Jalan Sultan Hishamuddin ke Dataran Merdeka dan Jalan Raja (Dataran Merdeka).
“Seterusnya, lebih banyak jalan akan ditutup pada 27 hingga 29 Ogos bagi menjayakan raptai penuh perarakan Hari Kebangsaan 2022.
“Namun tiada penutupan jalan dilaksanakan pada 30 Ogos. Walau bagaimana pun, penutupan jalan akan disambung pada 31 Ogos dan lebih banyak laluan utama di sekitar Dataran Merdeka yang akan terlibat,” terang Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Azmi Abu Kassim.
Hantaran laman Facebook: