Seorang remaja perempuan yang baru berusia 13 tahun telah dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki berusia 48 tahun.
Malah lebih mengejutkan, menerusi laporan The Sun, remaja berkenaan akan menjadi isteri kelimanya dalam satu majlis pernikahan yang didakwa mengikut agama Islam di Filipina.
Memakai pakaian tradisional di Mamasapano, majlis pernikahan itu turut dihadiri oleh rakan dan ahli keluarga untuk melihat pengantin remaja itu di wilayah Maguindanao yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Kena jaga anak sebaya usia
Menurut pengantin lelaki, Abdulrzak Ampatuan, dia akan menjadikan isteri barunya itu untuk menjaga anaknya yang sebaya dengan usia isteri baharunya itu.
“Saya gembira dapat berjumpa dengan dia dan meluangkan masa bersama dengan dia menjaga anak saya,” katanya.
Majlis perkahwinan itu diadakan di rumah pengantin lelaki di mana dia diberi taklimat bagaimana menjadi seorang suami yang baik.
Pengantin lelaki itu kemudian ditemani oleh tetamu berarak ke rumah pengantin perempuan.
Pasangan itu duduk bersebelahan di pelaminan, sementara para tetamu tersenyum dan ketawa melihat pasangan berkenaan.
Saya tidak takut
Walau bagaimanapun, tegas pengantin perempuan tersebut dia tidak takut dengan tanggungjawab yang akan diterimanya sebagai ibu tiri.
“Saya tidak takut kepadanya kerana dia melayani saya dengan baik. Saya tidak pandai memasak, tetapi akan mula belajar memasak. Saya mahu membahagiakan suami saya”.
Tiga minggu selepas majlis perkahwinan mereka, Abdulrzak membina sebuah rumah kecil untuk isteri baharunya itu di mana mereka tinggal bersama.
Difahamkan, Abdulrzak bekerja sebagai petani, sementara isterinya itu pula menjadi suri rumah dan menjaga anak suaminya, iaitu anak madunya.
Menurut Abdulrzak lagi, dia tidak merancang untuk mempunyai zuriat dengan isteri baharunya itu sehingga dia berusia 20 tahun dan akan membiayai perbelanjaan persekolahannya.
“Saya akan menanggung kos pendidikannya kerana saya mahu dia mendapat pendidikan, sementara menunggu masa yang tepat untuk mempunyai anak,” katanya.
Kahwin usia 15 tahun
Untuk rekod, di wilayah Mindanao yang majoritinya beragama Islam menetapkan, kanak-kanak lelaki boleh berkahwin dari usia 15 tahun, sementara anak perempuan boleh dikahwinkan sejak awal akil baligh.
Malah menerusi data UNICEF menunjukkan negara Filipina mempunyai bilangan pengantin kanak-kanak ke-12 tertinggi di dunia, iaitu sebanyak 726,000 kes.
15 peratus daripada jumlah itu berkahwin sebelum mencapai usia 18 tahun dan 2 peratus berkahwin sebelum usia 15 tahun.