Kita sebagai manusia, diuji dengan pelbagai cabaran untuk terus kuat menempuh dugaan yang mendatang.
Bagaimanapun kita haruslah percaya, akan ada hikmah di sebalik apa sahaja yang berlaku.
Begitulah kisah seorang wanita yang sebelum ini tular kerana menjadi mangsa penganiayaan seorang pelanggan, akan tetapi kini dia tetap bangkit daripada peristiwa pahit itu.
Memetik laporan MStar, Asma Amir, 25, dikatakan hanya bermula dengan hanya menjual tomyam di bawah kanopi.
Dengan air tangan masakannya itu, dia berjaya menambat hati orang ramai menjadi pelanggannya dan kini dia berjaya membuka sebuah gerai di hadapan rumahnya kira-kira dua bulan yang lalu.
“Sebelum ni saya berniaga dengan pacak kanopi depan rumah saja. Tak sangka selepas dah viral tu Allah beri rezeki banyak pada saya. Ramai pelanggan sanggup datang jauh-jauh dan beratur nak rasa tomyam saya.
“Akhirnya sejak dua bulan lalu saya buka kedai makan tepi rumah, senang sikit sebab sambil berniaga boleh tengok anak-anak.
“Alhamdulillah… sejak buka kedai memang kami tak menang tangan, sentiasa dikunjungi pelanggan,” katanya.
Terdahulu, kisah Asma mengenai dirinya ditipu pelanggan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 250 telah pun tular di media sosial.
Difahamkan, kisah pahitnya itu bermula setelah menerima tempahan ‘online’ untuk memasak lebih 20 bungkus tomyam kung dan akan dibayar tunai sewaktu penghantaran (COD).
Akan tetapi, pelanggan itu tiba-tiba pula lesap tanpa khabar berita lalu tempahan yang telah dibuat itu rugi semata-mata.
Setelah setahun berlalu, Asma tidak lagi membuat perkhidmatan penghantaran sebaliknya meminta pelanggannya untuk datang sendiri mengambil makanan di rumahnya yang terletak di Ajil, Terengganu.
Asma turut berniat untuk menambah bilangan pekerja di kedainya yang beroperasi bermula pada pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam.
“Sekarang ni saya ada dua orang pekerja tapi servis makan agak perlahan. Saya nak cari seorang lagi tukang masak untuk bantu mereka,” jelasnya.
Apabila mengimbas kembali peristiwa hitam itu, Asma meluahkan bahawa dia turut mempelajari ilmu baru mengenai dunia perniagaan bukan hanya sedih semata-mata.
“Lepas video tu viral, saya akui silap sendiri juga tak ambil deposit apabila dia buat tempahan tu.
“Apabila baca komen netizen cadangkan supaya ambil deposit terutamanya jika membabitkan tempahan yang banyak. Itulah adat berniaga, saya belajar daripada kesilapan sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Asma turut meninggalkan pesanan buat para peniaga di luar sana agar jangan sesekali berputus asa walau ditimpa kesusahan.
“Tak kiralah bisnes apa pun kita buat, jangan terlalu nak kejar sales. Kita buat dalam keadaan tenang. Fikir yang kita buat untuk diri kita dan keluarga.
“Lagi satu kita jangan terlalu bergantung pada manusia ketika mencari rezeki tetapi berdoalah pada Allah yang memberi rezeki.
“Kita kena ingat, waktu kita susah tak ada siapa yang bantu melainkan diri sendiri dan Allah. Jadi, kalau ada yang bercakap buruk fasal kita, abaikan saja kata-kata negatif tu,” pesan Asma.