Connect with us

Semasa

“Doa ibu diperkenankan..” Setelah 20 Tahun Dipenjara, Banduan Syukur Dapat Pengampunan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdulllah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63, baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, salah seorang banduan bersyukur dan gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga selepas 20 tahun menjalani hukuman penjara.

Ibu tidak pernah putus berdoa

“Selama berada dalam penjara, ibu tidak pernah putus berdoa agar saya dibebaskan dan berkat doanya”.

“Saya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk pembebasan,” kata Ahmad, 50, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong, Machang, hari ini.

13 banduan mendapat perkenan Yang diPertuan Agong

Ahmad adalah antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda perkenan mengurniakan pembebasan awal kepada banduan di beberapa penjara di Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63, pada tahun ini.

Menurutnya, dia dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap YDPA ketika menyertai Pertubuhan Al-Ma’unah.

Setiap hari saya hanya mampu berdoa

“Saya mula menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh pada 2000 selama setahun, kemudian dipindahkan ke Penjara Kajang selama 10 tahun”.

“Kemudian, saya dihantar pula ke Penjara Pengkalan Chepa selama lapan tahun dan 42 hari di Penjara Kajang sebelum dibebaskan pada 17 Ogos lalu”.

Saya amat menantikan saat dibebaskan

“Setiap hari saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan YDPA kerana tidak sabar melihat dunia luar yang ditinggalkan sejak dua dekad lalu, selain mahu menjaga ibu uzur”.

“Alhamdulillah, akhirnya doa saya dan ibu diperkenankan dan saban tahun saya amat menantikan saat untuk dibebaskan,” katanya.

5 kali hantar surat memohon pengampunan kepada YDPA

Ahmad berkata, sepanjang 20 tahun menjalani hukuman penjara, dia lima kali menghantar surat memohon pengampunan kepada YDPA.

Di saat pegawai penjara membaca nama lapan banduan di Penjara Kajang yang dibebaskan selepas mendapat pengampunan YDPA, dia terkejut dan pada masa sama tidak percaya tersenarai sebagai seorang daripada mereka.

Peluang kedua untuk saya menjadi insan lebih baik

“Inilah kebebasan dinantikan selama ini dan kini saya sudah bebas”.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutama Al Sultan Abdullah kerana memberi perkenan dan ia ibaratkan peluang kedua untuk saya menjadi insan lebih baik”.

Saya mendalami ilmu agama dan perbaiki diri

“Sepanjang menjalani hukuman penjara, banyak perkara yang saya pelajari selain al-Quran menjadi pegangan hidup ketika melalui hari mendatang di sebalik tembok batu itu”.

“Saya menggunakan sepenuh masa bagi memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama dan pada masa sama, ia mengajar saya banyak erti kebebasan sebenar apabila kita terpisah daripada dunia luar,” katanya.

Banyak perkara positif dipelajari dalam penjara

Menurut Ahmad, mungkin pada pandangan masyarakat, penjara adalah satu tempat ‘hitam’, namun sebenarnya masih banyak perkara positif boleh dipelajari di dalamnya.

Dia yang merupakan anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, dia merancang untuk membuka kedai jahit untuk menyara kehidupan dengan menggunakan kemahiran dipelajari di penjara.

Ini peluang saya mahu berbakti kepada ibu

“Selain itu, saya mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibunya yang terlantar sejak tiga tahun lalu disebabkan penyakit tua selain kedua-dua matanya kabur”.

“Walaupun mempunyai adik beradik lain, biarlah saya menjaga dan menguruskan segala keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang untuk berbakti kepadanya,” katanya.

Semoga kita semua mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah ini dan selamat maju jaya diucapkan kepada Ahmad

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.