Terdahulu, pelawak dan pelakon yang sering menggunakan dialek Negeri Sembilan dalam sketsa mahupun lakonannya, Ebby Yus atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid dikejutkan mengalami serangan jantung ketika dalam penerbangan.
Malah, selepas kejadian pada Oktober 2021 itu berlaku, Ebby Yus akui keadaan kesihatannya tidak menentu dan perlu diberi perhatian serta sentiasa berjaga-jaga.
Dalam perkembanganterkini, Ebby Yus dikhabarkan mungkin perlu menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang dihadapi sekiranya keadaan memaksa.
Memetik laporan Astro Awani, pelakon berusia 58 tahun itu berkata jantungnya juga dalam keadaan lemah dengan kekuatan sekitar 27 peratus sahaja.
“Baru-baru ini doktor keluarkan air yang telah memasuki paru-paru dan jantung saya. Justeru, doktor mengingatkan saya kalau keadaan memaksa…
“…dialisis adalah pilihan terakhir yang perlu dibuat… begitu juga dengan jantung saya hanya ada kekuatan 27 peratus sahaja,” ujarnya.
Ebby memaklumkan dia turut dikesan mempunyai masalah saraf dan prostat selain dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
“Sebelum masuk HKL, tubuh saya terlalu lemah sehingga tidak mampu berjalan dan saya juga sesak nafas sehingga terpaksa meminta kawan segera menghantar saya ke hospital.
“Selama di sana, doktor tebuk keluarkan air dan saya dirawat dalam ICU,” ujarnya.
Pun begitu, pelakon drama Sidang J.K.K. itu tidak mengeluh sebaliknya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan dengan rezeki yang luas.
“Saya bersyukur kerana masih ada kerja lakonan yang ditawarkan kepada saya. Ada sahaja undangan berlakon komedi yang saya terima.
“Tapi terbatas untuk penggambaran dalam studio sahaja, kalau di luar studio maaf saya tidak dapat menerimanya kerana keadaan kesihatan saya,” ujar Ebby yang sentiasa bersikap positif.