Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal selamanya. Walaupun tidak terlihat dengan mata kasar betapa besar kasih ibu dan ayah namun sebagai anak kita dapat merasainya.
Tiada seorang ibu didunia ini yang sanggup melihat anaknya menanggung penderitaan tambahan pula dengan usia mereka yang masih kecil.
Sayu dan hiba melihat tubuh kecil terlantar terima pelbagai rawatan
Alangkah sayu dan hiba tatkala melihat tubuh yang terlantar di atas katil dengan pelbagai prosedur rawatan sehingga berbulan lamanya.
Keadaan itu membuatkan hati wanita ini sebak mengenangkan kesakitan yang tidak mampu diungkap oleh si kecil.
Alnaira hidap Acute Lymphoblastic Leukemia
Menurut Puan Athira Azmi, episod sedih yang menyelubungi keluarga kecilnya bermula pada Februari tahun lalu selepas anak tunggalnya, Alnaira Ikhwan Aliff disahkan menghidap ‘Acute Lymphoblastic Leukemia’.
“Beberapa bulan sebelum itu iaitu sekitar November 2019, Naira kerap diserang demam. Selalu sangat demam dan saya banyak kali ambil cuti masa dia tak sihat,” lapor mStar.
Naira turut terkena jangkitan Influenza A
“Januari 2020, Naira turut terkena jangkitan Influenza A. Dia masih demam, kemudian tak sampai seminggu pulih, dia demam semula.”
“Saya fikir sebab Influenza A. Ada satu ketika, suhu badannya sangat panas. Kami ke klinik dan bila doktor periksa, doktor kesan darahnya tak normal lalu dirujuk ke hospital.”
Doktor kesan darahnya ada sel kanser
“Di hospital, doktor kesan darahnya ada sel kanser. Kemudian pada Februari 2020 ketika di Hospital Ipoh, Naira didiagnos menghidap ‘Acute Lymphoblastic Leukemia’,” ujarnya.
Jelas wanita berusia 29 tahun ini, selepas berbincang dengan suami, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta bagi memberi sepenuh tumpuan kepada anak tunggal mereka.
Baru dua tahun dah berkampung di hospital
Pada peringkat awal, Athira berkata dia sendiri kerap menangis mengenangkan penderitaan yang ditanggung anak kecilnya.
“Bayangkan ketika itu usianya baru dua tahun. Dua bulan berkampung di hospital. Ketika itu PKP pula, suami tak dibenarkan untuk teman bersama.
“Dia berulang alik dari Pantai Remis ke Hospital Ipoh ketika anak di wad.”
Sangat sukar lihat anak dicucuk dan dibedah depan mata
“Memang waktu itu sangat sukar lebih-lebih saya sebab melihat anak dicucuk, dibedah dan dirawat depan mata.”
“Saya tak kuat, kerap menangis namun bukan di depannya. Tapi anak kecil ni, mereka sebenarnya sangat kuat.
Saya melihat dia kuat dan ia mengajar saya untuk terima hakikat
“Saya melihat betapa dia kuat, ia mengajar saya untuk kuat dan perlahan-lahan menerima hakikat. Kita tak boleh lemah sebab kitalah sumber kekuatan mereka.”
Ujar Athira, antara saat paling membuatkan hatinya hiba adalah apabila melihat anaknya meraung menangis kelaparan kerana terpaksa berpuasa sebelum menjalani prosedur rawatan.
Anak kecil dua tahun kena puasa berbelas jam
“Bayangkan anak kecil dua tahun kena berpuasa berbelas jam, memang kesian bila dia meraung kelaparan.”
“Selain itu, paling sedih apabila rambutnya mulai gugur kerana rawatan kemoterapi.”
Berapa hari kena duduk hospital, bila boleh balik
“Kemudian dia kerap kali akan bertanya ‘berapa hari kena duduk hospital, bila boleh balik’. Dia seolah-olah dah faham yang dia sakit.”
“Ada juga waktu mencabar, ketika dia dalam rawatan, emosinya tak stabil.”
Dari anak yang aktif, dia jadi kuat tidur
“Daripada anak yang aktif, dia jadi kuat tidur dan suka marah dan meradang.”
“Memang masa ini cukup menguji kesabaran tapi kami tahu, ia adalah sebab kesan ubatnya,” katanya lagi.
Selepas setahun kesihatan Naira beransur pulih
Setahun selepas didiagnos dan menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi, Athira berkata keadaan kesihatan Naira beransur pulih.
“Naira dah habiskan pusingan rawatan kemoterapi. Kini dia bergantung kepada ubat dan perlu menjalani ujian darah sebulan sekali.”
“Ujian baru-baru ini, doktor maklumkan darahnya sudah normal. Tapi dia masih kena teruskan ubat untuk setahun lagi.”
Jangan fikir umur anak tak panjang, positif dan kena kuat
“Saya cuma nak kongsi pengalaman, dalam masa sama saya nak sampaikan mesej kepada ibu bapa yang juga senasib.”
“Jangan putus asa, jangan fikir umur anak takkan panjang, fikir positif dan kena kuat.Teruskan usaha dan ikhtiar.”
Jangan malu kongsi sebab lebih ramai orang doakan anak kita
“Jangan malu nak kongsi sebab mungkin lebih ramai akan doakan anak kita. Saya syukur, ramai yang beri perhatian kepada Naira dan rezekinya murah sangat. Kami yang tumpang rezekinya.”
“Anggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah kepada kita, dan pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya lagi.
Semoga adik Naira kembali sembuh dan membesar dengan sihat. Diharap keluarga adik Naira diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.