Sebuah angan-angan tidak mustahil untuk menjadi realiti jika tekad dan usaha dilakukan tanpa mengenal erti jemu.
Contoh terbaik inilah yang dikongsikan oleh seorang wanita yang berjaya sebagai usahawan perniagaan ayam sehingga dapat mendirikan sebuah banglo mewah di negeri kelahirannya, Kelantan.
Usahawan muda Amyza Ismail, 30, menceritakan kisah pahit manisnya selama 11 tahun menjalankan perniagaan bersama suaminya.
Pasangan ini telah berkahwin pada tahun 2008 ketika Amyza berusia 19 tahun manakala suaminya berusia 22 tahun pada ketika itu.
Boleh dikatakan semua orang di sekeliling memandang rendah terhadap mereka kerana tidak memegang sebarang sijil akademik malah berkahwin pada usia yang tersangat mentah.
Walaubagaimanapun perkara itu tidak menghalang Amyza dan suaminya daripada terus berusaha untuk sama-sama mencapai matlamat dan impian mereka.
“Kami buat kedai dengan kayu hutan depan rumah. Pagi berniaga ayam, malam berniaga sate. Memang letih, tapi kami tetap bahagia. Jatuh bangun kami tetap bersama.”
Menurut Amyza, keadaan keluarganya pernah berubah keruh apabila dia dihalau daripada rumah peninggalan arwah bapanya.
Ini kerana dia tidak mempunyai bukti dokumentasi geran tanah. Katanya, bermula daripada detik itu, Amyza dan suami mula menabung.
Mereka sanggup membuat 4 kerja untukl mendapatkan semula tanah arwah ayahnya.
“Bermula hari itu, kami mula menabung. Kami buat empat kerja. Hasilnya, kami mampu bayar lunas untuk dapatkan semula tanah arwah ayah.”
Amyza dan suaminya bertungkus-lumus selama 11 tahun memajukan perniagaan mereka demi keluarga dan anak-anak.
Kini Amyza mampu tersenyum kerana impiannya untuk membina mahligai tercapai di samping mengumpul lebih banyak aset sebagai pelaburan.
Di dalam perkongsian itu juga, Amyza turut berpesan supaya tidak mudah patah semangat dan kerap berdoa agar perkara yang diimpikan bakal menjadi kenyataan.
“Tujuan muat naik ini bukanlah untuk riak atau bangga diri. Kami ingin anak-anak muda supaya berusaha, jangan malu dan tidak malas berniaga.”