Kerajaan telah mengumumkan untuk membuka beberapa sektor ekonomi pada 4 Mei nanti dan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pelbagai respon daripada netizen berikutan bimbang dengan kelonggaran yang dibverikan bakal menimbulkan gelombang kedua wabak ini.
Tidak mahu rakyat terus resah, KKM menerusi laman facebook menjelaskan tentang isu ini.
Sebab kerajaan laksana PKPB
Salah satu sebab kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin, 4 Mei ini kerana mahu menyelamatkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang telah kehilangan sumber pendapatan.
Dianggarkan RM2.4 bilion kerugian sehari di Malaysia sejak PKP pertama dikuatkuasakan (18 Mac) dan kerugian sehingga kini dianggarkan sekitar RM63 bilion.
Jika PKP diteruskan dalam tempoh sebulan lagi, Malaysia dijangka kerugian RM35 bilion dan menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.
Ini sudah tentu memberi kesan sangat besar kepada kesejahteraan rakyat kerana pemulihan ekonomi mengambil masa yang lama.
Pulih ekonomi
Dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID-19, maka kerajaan perlu bersetuju untuk melaksanakan PKPB tetapi secara berhati-hati dan terkawal.
Sektor yang dibenarkan beroperasi telah diperhalusi dan mereka perlu bertanggungjawab untuk mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan KKM.
Kejayaan proses pemulihan ini banyak bergantung kepada diri kita sendiri. Tanggungjawab kita sendiri untuk mematuhi semua langkah-langkah pencegahan dan telah membiasakan diri dengan norma-norma baharu dan menjadikannnya sebagai gaya hidup seharian.
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membebaskan negara daripada virus ini dan masa yang sama memastikan ekonomi terus kukuh.
Peranan rakyat
Peranan anda yang mula bekerja Isnin ini adalah mematuhi semua SOP di tempat kerja. Bagi anda yang tidak terlibat pula, duduklah di rumah saja.
Jangan ke sana ke sini. Memutuskan rantaian COVID-19 kini ditangan kita. Laksanakan tanggungjawab kita. Patuhi PKP, jangan ingkar.