Sejak kebelakangan ini kecoh di media sosial apabila netizen mengkritik segelintir pelakon-pelakon dengan babak romantis mereka yang dikongsikan sendiri di laman Instagram.
Susulan isu tersebut, ramai yang mempersoalkan apa perasaan pasangan selebriti berkenaan jika melihat babak tersebut.
Pun begitu, lain pula ceritanya dengan Ayda Jebat yang tampil memaklumkan bahwa dia tidak mahu lagi melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon lelaki.
“Kadang-kadang bila tengok cerita membabitkan pelakon yang sudah berkahwin dan buat aksi-aksi tak sepatutnya ataupun melampau, terfikir juga bagaimana agaknya penerimaan pasangannya?” katanya.
Memetik laporan Harian Kosmo, Ayda Jebat atau nama sebenarnya Nur Suhada Binti Jebat mengatakan tiada sebab yang munasabah untuk dirinya melakukan aksi mesra apabila kini sudah bergelar isteri dan ibu. Tambahnya, melakonkan babak yang romantis tidak semestinya perlu dalam adegan untuk memberikan impak terhadap filem ataupun drama berkenaan.
“Memanglah saya seorang pelakon, tapi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu itu perlahan-lahan sudah dipegang. Saya sudah tidak perlu cerita cinta yang kena bertepuk tampar atau berpegangan tangan dengan lelaki.”
“Era itu sudah berlalu dan saya kena didik peminat dan penonton di mana kita tidak perlukan filem sebegitu. Banyak saja filem atau drama seperti dari Korea Selatan yang tak perlu babak bersentuhan tapi masih buat kita senyum dan berbunga-bunga” ujarnya.
Menurut Ayda yang juga isteri kepada pengacara Nabil Mahir ini menyifatkan babak sedemekian juga merupakan satu penderaan mental buat penonton.
“Bila mereka menontonnya, mereka tak rasa apa-apa? Tak rasa bersalah bila tengok idola atau artis kesayangan mereka buat aksi sebegitu?” tambahnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, Ayda Jebat mengakui sebelum ini dirinya tidaklah terlalu bagus namun apabila sudah mendirikan rumah tangga dia juga membawa maruah dan nama keluarganya dalam dunia lakonan.
“Sekarang ini saya bukan bawa nama Ayda Jebat saja tapi saya juga bawa nama suami dan nama keluarga. Jadi, malulah. Mungkin dulu saya pun tak bagus, tapi selepas ini saya sudah tak nak,” katanya.