Tahun ini, kita dapat saksikan banyak filem yang telah mendapat sambutan dan maklum balas yang baik oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, filem tempatan Mat Kilau arahan Syamsul Yusof ini telah mencetus fenomena dengan meraih kutipan RM97 juta hanya dalam 40 hari tayangan sekaligus menjadikannya kutipan tertinggi di Malaysia.
Walaupun telah mengundang pelbagai kritikan dan kontroversi di platform media sosial, filem ini merupakan filem tempatan yang paling laris.
Pun begitu, 16 September lalu filem Mat Kilau yang ditayangkan di aplikasi Netflix ini menerima pelbagai reaksi dan komen negatif oleh segelintir penonton yang baru kali pertama menontonnya. Ada yang tidak berpuas hati dengan kualiti filem berkenaan malah pengguna di laman Twitter menyifatkan sinematografi babak aksi kucar-kacir dan skrip yang digunakan kurang menarik kerana kedengaran seperti ‘ceramah’.
Memetik sumber, pengarah Syamsul Yusof atau nama sebenarnya Mohd Syamsul bin Mohd Yusof mengatakan telah menerima pelbagai kiriman mesej yang positif di laman Instagram oleh penonton dari seluruh negara.
Dalam pada masa yang sama, dia menyifatkan perkara sebegini sudah biasa dan mengucapkan rasa syukur dengan pujian yang diberikan serta menerima segala kritikan negatif.
“Ada suka, puji melambung, hina pun ada. Jadi, tenang-tenanglah…apa pun alhamdulilah. Saya dah lama buat filem dah ‘masak’. Filem ni biasalah. Apa yang penting majoriti penonton suka, saya bersyukur. Lepas tu sebagai pengkarya filem jangan mudah puas hati. Terus perbaiki dan baiki perlahan-lahan…”
“Apabila ditayangkan di Netflix, alhamdulillah, respons pun sangat baik, luar biasa juga. Saya setiap hari menerima DM, mesej daripada peminat di serata dunia. Ada dari Jerman, Madinah (Aarab Saudi), Australia, Amerika Syarikat, cakap tahniah dan pasukan Mat Kilau” katanya.
Menurut pengarah terkenal ini, tayangan filem Mat Kilau di Indonesia dan peminat di sana tidak dapat menikmati filem ini dalam tempoh yang lama kerana permintaan untuk ditayangkan di Netflix amat tinggi.
“Untuk di Indonesia, sayang peminat tidak dapat menikmati Mat Kilau dengan puas atau lama sebab permintaan amat tinggi di Netflix. Jadi, penerbit dan saya pun nasihat untuk tayangkan segera di Netflix. Walaupun mereka tidak dapat menikmati di pawagam dalam masa lama, sekejap saja dalam seminggu di pawagam terus masuk Netflix. Ini sebab Netflix pun mahu kita segera untuk tayang supaya seluruh dunia boleh tengok” tambahnya.
Walau bagaimanapun, kejayaan filem Mat Kilau ini telah mendapat perhatian ramai pihak dari pelbagai negara yang mula berminat dengan filem arahannya.
“Kejayaan Mat Kilau amat luar biasa. Penutup kutipan hampir RM100 juta dan ditayangkan di Indonesia. Insya-Allah pada masa akan datang, nak tayangkan serentak di Indonesia atau negara luar lain juga. Alhamdulillah, selepas kejayaan filem ini ada agen dari negara lain yang mula berminat dengan filem saya, jadi saya bersyukur,” ujarnya.