Mulai esok, pelancong yang mahu bercuti ke Pulau Pangkor, boleh mengambil penerbangan ke pulau itu yang disediakan oleh syarikat penerbangan komersial terbaharu, SKS Airways, dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pengenalan kembali penerbangan ke pulau itu selepas dihentikan sejak 2014 itu, diharap dapat merancakkan lagi industri pelancongan, sekali gus membantu melonjakkan reputasi pulau bebas cukai berkenaan.
Menurutnya, beliau yakin penerbangan terus dari Subang itu akan membawa lebih ramai kehadiran pelancong secara terus ke Perak, khususnya Pulau Pangkor.
“Penerbangan dijangka mengambil masa selama 45 minit dengan kapasiti 19 penumpang termasuk kru penerbangan.
“Lapangan terbang ini sudah lama tutup dan tidak lagi menerima pelancongan melalui penerbangan tetapi kini sudah ada pilihan. Ini satu ruang dan peluang baru kepada pelancong domestik dan luar negara untuk ke Pulau Pangkor tanpa melalui lebuh raya atau beratur di jeti,” katanya.
Menerusi carian team YOY, harga tiket penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor di laman web rasmi syarikat penerbangan tersebut bermula pada RM159.34
Pulau Pangkor menjadi destinasi pertama untuk penerbangan SKS Airways dan melakukan penerbangan pertama ke pulau itu menggunakan pesawat SKS Airways KI 6357, hari ini, manakala untuk pelancong bermula esok.
Saarani berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang berhasrat memulakan operasi di Ipoh mahu pun di Pulau Pangkor yang dapat meningkatkan bilangan pelancong.
Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Laut Perak, jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor mencatatkan peningkatan bermula pada bulan Oktober 2021 iaitu seramai 52,487 orang kepada 95,514 pada bulan November.
“Ia terus meningkat kepada 134,808 pada bulan Disember 2021. Peningkatan ini adalah melalui kemasukan pelancong daripada seluruh negara yang direkodkan memasuki Pangkor dalam tempoh Fasa ketiga dan keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah aktiviti rentas negeri dibenarkan,” katanya.
Katanya, beliau juga meminta Tourism Perak dan pihak berkaitan terus memperhebatkan promosi pelancongan bagi memastikan lapangan terbang pangkor terus beroperasi.
“Kita belajar dari kelemahan lalu, untuk kali ini saya minta Tourism Perak dan semua pihak terbabit pelancongan supaya sentiasa mempromosikan Pangkor termasuk cara ke sini sama ada dengan feri, kena promosi melalui udara juga,” katanya.
Sementara itu, Rohman berkata, penerbangan sulung itu cukup bersejarah buat mereka kerana ia menandakan permulaan sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penumpang, kargo dan tempahan khas.
“Perjalanan udara ini mengambil masa 45 minit secara terus dari Subang ke Pulau Pangkor yang menjimatkan dua atau tiga jam perjalanan biasa. Masa (lebih) dapat menikmati (percutian) dalam pulau,” katanya.
Untuk rekod, Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak 1993 dengan landasan kapal terbang sepanjang 732 meter, namun berhenti beroperasi sejak Februari 2014.