Connect with us

Semasa

[FOTO] Tidur Tepi Jalan, Rakyat Kita Jadi Gelandangan di Singapura

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan yang menggambarkan apa yang sedang dilalui mereka yang terkesan dengan penutupan pintu sempadan Malaysia-Singapura.

Memetik laporan Berita Harian, warganegara Malaysia yang bekerja disana terpaksa berjimat kerana tidak boleh berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura seperti dahulu.

Masih bekerja namun terpaksa hidup gelandangan di negara orang

Mereka masih bekerja, namun terpaksa hidup sebagai gelandangan di negara orang, tidur di tepi jalan, menumpang mandi di tandas awam dan adakalanya berlapar kerana berjimat membeli makanan.

Itulah realiti dihadapi ratusan rakyat Malaysia bekerja di Singapura ketika ini, angkara COVID-19 yang menyaksikan pintu sempadan ditutup bagi mengelak penularan, sekali gus menghalang mereka berulang alik dari Johor seperti kebiasaan.

Mereka berehat dan tidur di tandas awam 

Oleh kerana kos sara hidup tinggi di negara jiran itu, mereka terpaksa berkorban bagi menanggung keluarga kerana ada juga yang dipotong gaji bulanan oleh majikan akibat pandemik COVID-19.

Mereka berehat dan tidur di bangku yang ada di taman awam sekitar republik berkenaan, menggunakan tandas awam atau di medan makan, restoran, surau atau masjid, ada juga yang menumpang mandi di tempat kerja.

100 pekerja Malaysia di Singapura terpaksa menjadi gelandangan

Nasib mereka dikongsi Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, rakyat Malaysia yang bekerja di sebuah syarikat minuman di Singapura dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di republik berkenaan.

Lebih dikenali dengan nama Eddie Dieana, beliau berkata, sekurang-kurangnya 100 pekerja Malaysia di Singapura kini terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak mampu menyewa bilik, apatah lagi katil.

Ada yang hanya tinggal RM300 sahaja untuk belanja sebulan

Dengan purata pendapatan bulanan S$800 (RM2,441) hingga S$1,400 (RM4,271), katanya, mereka tidak mampu menyewa katil pada harga S$300 (RM915) hingga S$500 (RM1,525) sebulan, apatah lagi bilik berharga S$700 (RM2,135) hingga S$1,200 (RM3,660).

Beliau berkata, ia belum dicampur kos makan mencecah S$20 (RM61) sehari dan kos tambang perkhidmatan pengangkutan awam MRT, antara S$3 (RM9) hingga S$4 (RM12) bagi satu perjalanan mengikut lokasi.

Malah, katanya, ada yang terpaksa mengikat perut kerana hanya mempunyai S$100 (RM304) untuk bertahan selama sebulan, termasuk kos makan selepas menghantar kira-kira S$700 (RM2,134) untuk keluarga di Malaysia dan S$300 (RM915) kos katil.

Ada yang makan mi segera dari pagi hingga malam untuk alas perut

“Ada yang makan mi segera dari pagi hingga malam untuk alas perut. Jadi, pada masa terluang, saya akan cari roti yang tidak lagi mahu digunakan dari lori roti untuk diberikan kepada rakan-rakan gelandangan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Shahruddin yang menyertai program amal dikendalikan sepasang suami isteri warga Singapura sejak Ramadan lalu, berkata mungkin ramai bertanya mengapa mereka tidak pulang sahaja ke Malaysia daripada menjadi gelandangan di Singapura.

Rata-rata mereka adalah sumber utama pendapatan keluarga

“Untuk makluman, rakyat Malaysia yang jadi gelandangan di Singapura, rata-rata adalah sumber utama mencari pendapatan untuk keluarga”.

“Jika balik Malaysia, mungkin sukar cari kerja pada waktu ini, bagaimana mahu tanggung keluarga?,” katanya.

Mereka perlu bayar RM2,200  kos kuarantin 14 hari di Malaysia

“Mereka terpaksa berhenti bekerja dan wajib jalani ujian saringan serta kuarantin di Malaysia yang kosnya ditanggung sendiri”.

“Saya dimaklumkan, perlu bayar RM2,200 untuk kos kuarantin selama 14 hari di Malaysia selain ujian saringan”.

Ada yang sanggup tidak balik dan bertahan disini

“Ia ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Sudahlah terpaksa berhenti kerja, harus bayar kos kuarantin lagi. Sebab itu mereka sanggup tidak balik dan bertahan di sini,” katanya.

Shahruddin menjelaskan, kerumitan hidup pekerja Malaysia di Singapura hanya akan berakhir apabila pintu sempadan dibuka dan mereka boleh berulang alik dari Johor setiap hari bekerja.

Kebanyakan gelandangan sebelum ini berulang alik dari Johor

“Mereka tidak pernah bergelandangan sebelum ini, kebanyakannya berulang alik dari Johor.

“Ia menjimatkan, tidak perlu keluar kos makan, sewa katil atau bilik di Singapura kerana ada rumah di Malaysia, milik sendiri atau sewa. Tiada tekanan hidup,” katanya.

Mereka betul bergolok bergadai untuk keluarga

“Mereka tidak mahu memaklumkan keluarga di Malaysia kerana tidak mahu keluarga bimbang dan risau”.

“Mereka ini antara golongan yang betul-betul bergolok-gadai untuk bekerja dan memberi makan keluarga, sedangkan diri sendiri makan sekadar alas perut”.

Mereka jauh dari keluarga berbulan-bulan

“Itu belum bab emosi, jauh dari keluarga berbulan-bulan. Kalau tidak kuat, memang tertekan”.

“Kami amat berharap sempadan dibuka, tetapkanlah apa pun syarat asalkan munasabah untuk kami boleh berulang alik bekerja dari Johor,” katanya.

Pikul tanggungjawab besarkan anak seorang diri

Menanggung beban emosi melampau dan tertekan kerana tidak tahu nasib suami yang tiada di sisi sejak kira-kira lapan bulan pandemik COVID-19 menular.

Kongsi Ismaliza Ismail, 39, dia bukan sahaja terbeban, malah terpaksa bekerja keras memikul tanggungjawab membesarkan dua anak yang masih kecil seorang diri di sini kerana suami, Muhammad Arshad Rahim, 30, terkandas di negara jiran.

Katanya, hampir semua pekerja Malaysia yang mengambil keputusan terus berada di Singapura pada awal penularan COVID-19 Mac lalu, sebenarnya tidak bersedia meninggalkan keluarga berbulan-bulan, sekali gus kini turut tertekan.


Sangkaan penutupan sempadan Malaysia-Singapura hanya dua minggu

“Pada mulanya, mereka sangka penutupan sempadan Malaysia-Singapura hanya dua minggu”.

“Jadi, suami dan majoriti yang lain hanya buat persiapan menetap di Singapura untuk dua minggu sahaja”.

“Sebelum itu, bertahun-tahun suami dan ramai lagi rakyat Malaysia berulang-alik melalui Tambak Johor atau Jambatan Link Kedua di Gelang Patah untuk masuk bekerja di Singapura”.

Saban hari anak bertanya bila ayah akan pulang

“Apabila penutupan sempadan berpanjangan sejak Mac lalu, pelbagai masalah timbul”.

“Beban emosi, tekanan tidak dapat dikata lagi, bukan sahaja suami, malah saya juga apabila anak saban hari bertanya bila ayah mereka akan pulang,” katanya.

Katanya, tekanan bukan sahaja kerana menjadi ‘ibu tunggal’ menguruskan semua urusan keluarga berseorangan, tetapi juga kerana pendapatan keluarga turut merosot lebih 50 peratus berikutan perbelanjaan sara diri suami di Singapura amat tinggi.

Sebelum ini suami bawa bekal setap hari

“Ketika berulang alik, suami bersarapan dulu di rumah seawal 4 pagi, bawa bekal makanan tengah hari dan pulang menjelang malam”.

“Sejak terkandas, suami guna pendapat untuk belanja makan, sewa bilik dan tujuan lain yang kosnya berkali ganda”.

Separuh dari gaji bulanan habis untuk tinggal disana

“Lebih separuh daripada wang gaji bulanannya dihabiskan untuk menanggung diri di sana,” katanya kepada BH.

Katanya, suaminya yang bekerja sebagai penghantar dokumen dan barangan, tidak menggunakan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang kerana hanya dibenarkan bercuti tujuh hari berikutan bebanan kerja yang banyak.

Kuarantin 14 hari tapi cuti hanya 7 hari sahaja

“Jika balik ke sini, dia perlu jalani kuarantin wajib 14 hari. Untuk masuk semula ke Singapura juga perlu menjalani kuarantin di sana. Macam mana mahu pulang jika cuti pun tujuh hari sahaja”.

“Ramai tidak berani melanggar arahan majikan kerana bimbang diberhentikan kerja. Kalau itu berlaku, adakah ada peluang kerja di sini ketika pandemik COVID-19 belum pulih,” katanya.

Suri rumah, Norhariyanti Abu Bakar, 38, mengakui menguruskan anak berusia 11 dan 18 bulan sendirian kerana suaminya, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, terkandas di Singapura, amat mencabar.

Tujuh bulan urus rumah tangga sendirian

“Tujuh bulan urus rumah tangga sendirian memang mencabar, saya kena lincah buat semua kerja, memang tidak boleh rehat dari awal pagi sampai tengah hari”.

“Anak pula adakalanya bukan tidur serentak. Selepas mereka tidur, baru saya dapat lelapkan mata sekejap,” katanya.

Mengakui emosinya terganggu setiap kali anak tidak sihat kerana terpaksa ke klinik bersendirian dengan membawa dua anak kecil, Norhariyanti bagaimanapun bersyukur mempunyai keluarga yang tinggal berdekatan untuk membantu jika perlu.

Tipu kalau saya tidak pernah menangis

“Tipu kalau saya tidak pernah menangis, lebih-lebih lagi semasa anak sakit dan demam, saya urus sendiri tanpa suami di sisi”.

“Waktu itu memang rasa letih sangat sampai keluar air mata,” katanya yang berhubung dengan suami menerusi panggilan video setiap hari.

Diharap ada jalan penyelesaian buat mereka. Semoga mereka yang terpisah dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.