Kucing adalah di antara haiwan yang menjadi kegemaran untuk dijadikan haiwan peliharaan di rumah.
Boleh dikatakan semua orang suka dengan sifat manja dan comel haiwan ini yang membuatkan kehadirannya sentiasa disenangi.
Walaubagaimanapun, bukan semua kucing bernasib baik dijaga dan disayangi serta mempunyai tempat tinggal yang selesa.
Masih ada yang hidup merempat di jalanan sejak kecil lagi ataupun dibuang oleh pemilik yang tidak berhati perut.
Di dalam perkongsian daripada laman Facebook HOPE, beberapa gambar-gambar seekor ibu kucing dan anak-anaknya menjadi perhatian netizen.
Bagi yang tidak tahu, HOPE adalah satu organisasi bukan kerajaan yang menyelamatkan haiwan-haiwan terbiar.
Seekor ibu kucing telah ditemui oleh seorang pemuda pada Tahun Baru Cina dan haiwan tersebut seakan meminta tolong menyelamatkan anak-anaknya yang berada dalam tong sampah.
Malah, ibu kucing tersebut seperti ‘merayu’ kepada pemuda itu untuk tolong selamatkan anaknya.
Tanpa berlengah, pemuda tersebut telah menggeledah sampah-sarap di dalam tong tersebut.
Ternyata terdapat dua ekor anak kucing yang masih bertali pusat berada di dalam sampah-sampah tersebut.
Dia terus mendapatkan anak-anak kucing itu dan merawatnya serta menempatkan kucing tersebut di tempat yang lebih selesa.
Bingung dengan keadaan tersebut, ramai yang mengagak kesemua haiwan itu dibuang oleh tuannya yang tidak bertanggungjawab.
Perkongsian yang dibuat oleh lelaki tersebut telah menerima pelbagai respon dari netizen.
Ramai yang memuji dan berterima kasih kepada pemuda tersebut kerana cakna dengan permintaan ibu kucing itu.
Malah, ramai yang bersimpati dengan keadaan ibu kcing bersama anak-anaknya dan mendoakan agar persatuan terbabit akan menjaganya.