Siapa yang tidak sedih jika kereta yang banyak ‘berjasa’ bertukar rupa menjadi seperti kandang haiwan dan terlihat bagai sudah terbengkalai lama.
Begitulah yang dilalui seorag wanita ini yang mana hampir gugur jantung melihat kereta miliknya yang dihantar ke sebuah bengkel di Johor Bahru hampir ‘jahanam’ selepas melakukan terjahan bersama rakannya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video di applikasi Tiktok, wanita yang dikenali sebagai Ain Jeman difahamkan menghantar sebuah kereta yang dipercayai Proton Wira itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Pada awalnya, dia hanya ingin membaiki masalah pada bateri kereta tersebut, namun dikatakan alang-alang kereta tersebut berada pada tukang baiki kereta itu, dia meminta untuk convert ke ‘evo’ dengan bayaran RM 12,000 secara ansuran.
“Ya Allah, menggigil tahan marah & sedih tengok kereta macam ini, banyak kali telefon, banyak alasan yang dibagi, hari ini nekad terjah bengkel dia. Luluhnya hati aku,” tulisnya dalam video tersebut.
Bukan itu sahaja, Ain juga mendedahkan mekanik bengkel terbabit sering memberikan pelbagai alasan setiap kali dia mahu melihat perkembangan mengenai keretanya.
“Bila saya WhatsApp, baru dia reply tapi tak memuaskan hati. Bila tanya kereta macam mana, dah siap ke? Ada sahaja alasan diberi. Bila orang minta gambar atau video, mula la kata orang tak percaya dia.
“Dia kata kalau nak kereta tu tiptop, cantik, biar lambat. Hari ni saya nekad pergi sana.. bila tengok dalam kereta, hancur hati saya dan hilang kata-kata,” katanya yang juga seorang jururawat.
Wanita ini turut mengakui bahawa dia berasal daripada Selangor dan kurang tahu akan selok belok di Johor Bharu.
Video yang tular di TikTok:
Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah merah 610.3K tontonan, 28.9K tanda suka, 3086 komen dan 650 perkongsian di laman TikTok.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen menyarankan wanita ini membuat laporan polis supaya mekanik tersebut mendapat hukuman yang setimpal. Dalam pada masa yang sama, ada juga segelintir netizen yang berkongsi pengalaman yang sama dimana mereka berurusan dengan mekanik yang tidak jujur.
Semoga kisah ini menjadi iktibar buat semua orang agar tidak terlampau mudah untuk percaya orang dan harap semua mekanik menjalankan tugas dengan jujur dan amanah serta tidak menganiayai orang lain seperti segelintir mekanik lakukan.