Malang tidak berbau, begitulah ungkapan yang sering dikaitkan dengan kecelakaan jalan raya yang berlaku.
Kadangkala kita cukup berhati-hati ketika berada di jalan raya, namun begitu atas beberapa faktor lain seperti keadaan jalan antara salah satu punca yang boleh meragut nyawa pengguna.
Anggota TUDM terbabas selepas melanggar lopak ari
Begitulah juga dengan kisah yang dipetik dari Sinar Harian pada hari ini mengenai seorang penunggang motosikal yang terkorban kerana terlanggar lopak air.
Difahamkan, mangsa kejadian merupakan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas melanggar lopak air di Jalan Kuching menghala pusat bandar.
Malah, satu perkongsian di muat naik laman Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia mengenai berita kehilangan salah seorang anggota mereka itu.
Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.42 petang.
Selain itu,mangsa dikenali sebagai Mohd Husaini Mohd Nasir berusia 28 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di Kem Tentera Udara Subang.
Motosikal mangsa hilang kawalan dan termasuk ke laluan kanan jalan
Ujar beliau lagi, semasa melalui laluan itu, mangsa yang menggunakan laluan paling kiri dalam keadaan hujan dipercayai terlanggar lopak air.
“Mangsa yang termasuk ke lubang tersebut telah hilang kawalan lalu terjatuh dan masuk ke laluan kanan jalan sebelum sebuah lori dipercayai telah melanggar mangsa”.
Pemandu lori menyedari terlanggar sesuatu
“Kejadian itu hanya disedari pemandu lori terbabit selepas berasa seperti melanggar sesuatu dan melihat mangsa telah tertiarap di atas jalan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan maut di lokasi kejadian.
Tambah beliau lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, menerusi laman Facebook adik kepada mangsa turut berkongsi berita sedih ini dan memuat naik gambar terakhirnya bersama.
“Ini gambar kita yg terakhir abg…. Semoga kau tenang disana.. Allah lebih sygkan hg abg……. Pergi mu dihari yg mulia… Alfatihah untuk abg saya mohd husaini bin mohd nasir…”
Salam takziah buat keluarga Allahyarham Mohd Husaini, moga keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian ini.