Siapa sahaja yang tidak ingin menikmati alam perkahwinan yang bahagia bersama pasangan bukan?
Lebih-lebih lagi apabila suami isteri berkongsi minat dan hobi yang sama, misalnya seperti memancing.
Sama seperti kisah yang tular di laman TikTok baru-baru ini mengenai seorang wanita yang berkahwin dengan suaminya yang merupakan seorang ‘kaki pancing’.
Menerusi foto-foto yang dimuat naik di laman TikTok @tipahfishing, pada asalnya dia berasa sedih kerana sering ditinggalkan suaminya bersendirian di rumah.
“Siapa suruh kahwin dengan kaki pancing. Selalu kena tinggal (suami) asyik pergi mancing.
“Duduklah rumah sendirian sambil makan kuaci. Keluarlah (berjalan) macam single.
“Jogging pun sendiri konon nak jaga badan biar suami ‘lekat’ dekat rumah. Pergi jemputan (kenduri) pun macam anak dara,” luahnya menerusi foto-foto yang telah tular itu.
Bagaimanapun tanpa disangka-sangka, akhirnya wanita itu sendiri meminati aktiviti memancing sehinggakan dia menggunakan nama Tipah Fishing di semua platform media sosialnya.
Minatnya mula berputik apabila dia sudah tidak tahan lagi sering ditinggalkan suami sendirian di rumah lalu dia pun cuba mengikut jejak langkah suaminya dengan memancing sendirian di sebuah kolam ikan.
“Dah tak boleh sabar. Cuba buat benda sama pergi mancing juga.
“Mancing kolam sorang-sorang. Tiba-tiba dapat ikan. Datang lagi kolam sorang-sorang sambil mencari ketenangan,” jelasnya.
Sehinggakan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu juga, dia lebih gemar memancing dengan mengenakan busana baju rayanya itu.
Bukan itu sahaja, Tipah turut berjaya menganjurkan sebuah pertandingan memancing yang disokong oleh kenalan dan mendapat tajaan syarikat jenama alatan pancing.
“Boleh pula berani anjurkan game memancing. Alhamdulillah dapat sokongan daripada semua kenalan siap dapat sponsor besar Daiwa.
“Seronok jadi satu-satunya perempuan yang menganjurkan pertandingan memancing,” terang Tipah.
Difahamkan dengan minat Tipah yang semakin mendalam terhadap hobinya itu, kini dia sudah pun membeli sebuah kayak yang bakal digunakan untuk memancing.
“Dah ‘gila’ tak boleh stop. Cuba pinjam kayak orang bawa pergi mancing.
“Kolam air tawar pun bedal saja memancing. Naik bot main jig (sejenis umpan memancing) pula. Makin gila mancing.
“Apabila sudah gila sampai sanggup beli kayak sendiri. Kini jadi Lady Angler berjaya,” luahnya gembira dalam fotonya itu.
Meninjau di ruangan komen, warga netizen terhibur apabila sampai kesudah ‘update’ mengenai suaminya itu tidak disebut hingga ke akhir foto.
Puas mereka ingin cari tahu apakah yang terjadi dengan suaminya itu.
Antara komen netizen:
“laki akak mana semua cari 😂😂”
“ni nk kira macm mana ni, bini lagi famous dari suami😂😂😂😂”
Video TikTok yang tular: KLIK SINI