Masjid adalah tempat beribadat, tetapi ‘makcik’ ini menjadikannya sebagai ‘lubuk’ mencari rezeki dengan mencuri wang dalam tabung di Masjid Kecamatan Tugu Mulyo, Kabupaten Musi Rawas, Sumatera Selatan , Rabu lalu.
Bagaimanapun, dipercayai dalam kejadian malam itu, wajah dan aksi seorang wanita tua yang memakai penutup muka tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), yang dipasang di masjid terbabit.
Memetik laporan Suara.com, tindakan wanita itu mengejutkan warganet yang melihat video itu kerana saiz tabung yang dicuri olehnya itu agak besar.
Menerusi video itu, dapat dilihat wanita tersebut memastikan keadaan masjid lengang terlebih dahulu sebelum bertindak mengangkut tabung yang besar itu.
Tidak lama kemudian, dia dilihat bertungkus-lumus membawa tabung yang berat tersebut sambil berlari dan meletakkannya di atas sebuah motosikal.
Dia kemudian dilihat cuba untuk meletakkan tabung tersebut di tempat duduk hadapan motosikalnya tetapi tidak boleh kerana tabung itu terlalu besar.
Setelah memastikan tabung tersebut selamat ‘ditunggangnya’, dia segera menaiki motosikalnya dan beredar dari situ.
Walaupun menghadapi kesukaran, dia tetap menunggang motosikalnya untuk keluar dari perkarangan masjid.
Justeru, tidak lama selepas itu dia dilihat seperti terhuyung-hayang dan terjatuh dari motosikalnya manakala tabung yang dicuri olehnya tercampak kerana terlalu berat.
“Oh terbalik, motor dia terbalik,” kata orang yang merakam CCTV itu.
Tetapi ‘makcik’ itu tidak berputus asa, tabung yang jatuh itu dinaikkan semula ke atas motosikalnya dan berjaya beredar dari situ.
Kedudukannya ketika menunggang motosikal tersebut kelihatan pelik kerana terhalang oleh tabung yang diletakkan di depannya.
Video tular di laman Instagram:
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dari netizen apabila melihat video tersebut, ada di antara mereka yang mengesyaki bahawa pencuri itu sebenarnya seorang lelaki yang menyamar menjadi makcik tua.