Gunung Jerai Didakwa Jadi ‘Sarang’ Ritual Amalan Khurafat, Jabatan Agama Kedah Tak Bagi Muka
Isu berkaitan sesat mahupun menghina agama Islam bukanlah sesuatu yang baru di negara kita.
Malah ajaran-ajaran ini sudah menapak sejak sekian lama dan boleh menyebabkan seseorang Islam terpesong akidahnya.
Beberapa hari lepas, tular sebuah video berdurasi seminit di TikTok memaparkan beberapa orang pemuda melakukan ritual di Gunung Jerai, Kedah.
Menurut pemilik video, mereka menziarah makam purba milik Syeikh Abdullah Al Qhumairi, pendakwah hebat yang telah mengislamkan kerajaan Kedah Tua suatu ketika dahulu.
Menjengah ke ruangan komen video tersebut, pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen. Ada yang postif namun tak kurang juga yang menganggap perbuatan mereka khurafat.
Difahamkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah memulakan siasatan berkenaan isu tersebut, lapor pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Daud kepada Utusan Malaysia.
Siasatan dijalankan setelah pihak beliau mendapat aduan daripada orang ramai selepas tularnya video tersebut di media sosial.
Kes berikut disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.
Sekiranya didapati bersalah, Seksyen 4 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Sementara Seksyen 7 Enakmen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Dalam pada masa yang sama, pihak JHEAIK kini giat mengadakan siri-siri penerangan di seluruh negeri berkaitan kesan buruk amalan khurafat kepada masyarakat.
Mereka akan sedaya-upaya memberikan penerangan kepada masyarakat di samping sentiasa memantau aktiviti-aktiviti keagamaan di seluruh negeri.
“Kita meminta agar masyarakat sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan,” katanya.