Umum kita tahu, kebanyakan wanita paling ‘pantang’ jika disebut bab berpoligami, boleh terbang semua pinggan mangkuk dekat dapur dek kerana mengamuk bila tahu suami nak kahwin lain.
Bagi wanita, poligami ni tak boleh dibawa bergurau, boleh merajuk seminggu kalau suami menyakat bab poligami!
Namun lain pula ceritanya dengan pengacara, pelakon dan juga penyanyi terkenal Azline binti Ariffin atau lebih dikenali sebagai Ezlynn yang tidak kisah jika berkongsi kasih sayang dengan yang lain.
Terbaru, tular semalam mengenai Ezlynn yang tampil mengakui bahawa dirinya mahu carikan calon isteri baru buat suaminya sekali gus mahu cukupkan kuota ‘4 madu’.
Difahamkan, Ezlynn yang juga pelantun lagu ‘Hi Hi Bye Bye’ itu nekad membuat keputusan tersebut oleh kerana terlalu sayang akan suaminya dan mengutamakan kebahagiannya
“Kebahagian suami penting bagi saya. Dalam dunia ini saya dah tak perlu apa-apa lagi. Saya nak cari saham akhirat saja.
“Mana-mana yang boleh saya dapat reda Allah dan ‘syafaat Rasulullah’, saya akan ikut. Inilah hadiah buat suami saya,” katanya.
Dalam masa yang sama, dia juga ingin mengangkat sunnah Rasulullah dan mahu mengejar ‘saham akhirat’.
“Dalam Islam pun membolehkan lelaki berkahwin empat. Saya nak cukupkan suami saya ada empat isteri. Kalau ada yang sanggup bermadu dengan saya, boleh terus mesej di Instagram.”
“Kita hidup hanya sementara, mesti kena gembira. Jom mengorak langkah menuju ‘jannah’ (syurga). Saya mengangkat sunnah Rasullullah SAW, dan saya yakin boleh hidup bermadu,” katanya
“Cuma saya masih lagi cari yang sesuai untuk dia. Suami memang tahu berkenaan perkara ini kerana saya mengutarakan ‘hajat’ dan kami sudah bincang mengenainya.
“Sebab itulah saya putuskan nak cari madu yang baik dan sesuai, yang sudi terima saya sebagai madu juga.
“Maksudnya berkahwin dengan saya sekalilah dan bukan dengan suami saja. Sebabnya, nanti banyak perkara perlu dilakukan oleh kami bersama,” katanya.
Terdahulu, Ezlyyn mendirikan tangga pada 21 November 2011 dengan Wan Mohd Hafizam yang juga merupakan penderma hati yang pertama di Malaysia pada tahun 1999.
Detik perkenalan Ezlynn dan suami, Wan Hafizam bermula apabila sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lalu.
Ezlynn juga turut mengakui suaminya memiliki ciri-ciri lelaki idamannya, kerana dia mencari seorang imam dalam hidupnya.
“Saya tertarik dengannya sebab hatinya. Dia orang yang hebat bagi saya dan tak berkira serta banyak membantu orang. Dia bukannya buat untuk dunia, tapi lebih kepada akhirat,” katanya.