Connect with us

Semasa

Hafaz Al-Quran Antara Resepi Terbaik Remaja Ini Peroleh “Straight” 11A SPM

Sekitar hari ini, pelbagai berita gembira dikongsikan bagi mereka yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Tidak terlepas satu kisah seorang remaja yang bergelar huffaz al-Quran sejak berusia 16 tahun memperolehi keputusan yang cemerlang

Remaja tersebut telah meraih 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan hari ini.

Bila kita bergelar huffaz, lebih mudah untuk menghadam ilmu lain

Daniel Haziq Mahadi, 17, dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam telah memperoleh semua A dalam 11 subjek yang diduduki.

Menurut remaja ini, kaedah menghafaz Al-Quran yang dipelajarinya telah menjadi resepi terbaiknya ketika menjawab peperiksaan.

“Sebenarnya apabila kita bergelar huffaz, lebih mudah untuk kita menghadam ilmu lain dengan lebih cepat terutama dalam pelajaran al-Quran dan sunnah, syariah Islamiah serta bahasa Arab,” katanya kepada Sinar Harian

Berkat menghafaz Al-Quran, dia mudah mengingati pembelajaran

Tambah Daniel lagi, berkat menghafaz al-Quran juga dia mudah mengingati dan memahami pembelajaran di dalam kelas.

“Saya yakin ALLAH akan bantu jika kita mendampingi al-Quran kerana mukjizat teragung ini adalah kunci kepada kecerdasan fikiran,” katanya.

Selain itu, dia sering berkongsi ilmu dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain dan ia memudahkan dirinya untuk memahami mata pelajaran.

Saya suka mengajar rakan untuk mudahkan saya ingat

“Saya juga suka mengajar rakan yang tidak faham kerana teknik itu memudahkan saya mengingati apa yang saya ajar,” ujarnya lagi.

“Kita janganlah lokek ilmu kerana semakin kita belajar semakin pandai, selagi ada peluang capai kejayaan kita terus berjuang sebab ALLAH sentiasa bersama,” katanya.

Mengulas mengenai cita-cita, Daniel Haziq bercita-cita menjadi pakar bidang animasi dan  berhasrat menyambung pengajiannya di luar negara bagi meneroka teknologi itu.

Mempunyai cita-cita menyambung pelajaran di UK

“Saya berhasrat menimba ilmu animasi di United Kingdom kerana negara itu terkenal dengan filem animasi terkenal yang mempunyai seni visual dan grafik berteknologi tinggi,” katanya.

Menurut Pengetua MITS Sabak Bernam, Dr Azammuddin Zainuddin, keputusan SPM itu merupakan antara pencapaian terbaik tahfiz sejak penumbuhannya.

“Seramai 32 pelajar menduduki SPM tahun lalu dan kami memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) SPM 2.02 dan seorang pelajar memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran”.

“Kami juga menggalakkan mereka yang berkelayakan dan cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) menyambung pendidikan di sini,” katanya.

Semoga semua pelajar yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia memperolehi keputusan yang cemerlang.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.