Hari ini dunia industri hiburan menerima khabar duka apabila pelawak legenda, Abdul Hamid Abdul Rahman atau lebih popular dengan nama Hamid Gurkha, 90, telah disahkan meninggal dunia kira-kira 2.19 petang.
Berita duka itu dikongsikan anaknya, Nor Ashita Hamid, sebentar tadi.
“Jenazah akan dikebumikan malam ini selepas Isyak di Tanah Perkuburan Kota Raja, Klang,” katanya.
Seorang lagi anaknya, Fendy memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
“Benar, bapa saya telah meninggal dunia sekitar pukul 2 petang tadi.
“Jenazah diuruskan oleh pihak hospital dan kami rancang untuk proses pengkebumian petang ini (Selasa).
“Terima kasih atas doa semua peminat buat arwah bapa saya selama ini. Semoga semua cerita baik arwah akan dikenang selepas ini,” katanya ketika dihubungi media.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
Hamid merupakan pelakon prolifik yang mengecap populariti menerusi filem Panglima Badol pada tahun 1978.
Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Timah Abdul Hamid, 80, pada April 1957. Mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya telah meninggal dunia.