Hari ini kita dikhabarkan dengan satu insiden kebakaran yang berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi.
5 Mangsa insiden kebakaran itu telah dijumpai dan kelima-lima mangsa telah disahkan identiti mereka.
Salah seorang mangsa adalah Faidhi Akmal Fadzil, 28, yang berasal dari Sungai Petani Kedah.
Pesanan terakhir seorang abang kepada adik-adiknya
Mangsa sempat memberikan pesanan terakhir dan pesanan itu masih terngiang-ngiang di ingatan dua adik mangsa, Faizul Ikhwan Fadzil, 25, dan Faris Aiman Fadzil, 20.
“HATI-HATI, jangan leka. Kerja bidang gas dan petroleum berisiko tinggi, bila-bila masa (premis operasi) boleh meletop,” itu pesanan terakhir seorang mangsa yang rentung di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi, kepada dua adiknya.
Mereka tiga beradik bekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, sejak tiga tahun lalu.
Luruh jantung saya mendapat panggilan telefon
Menurut Faizul Ikhwan kepada Harian Metro, dia tidak menyangka pesanan abangnya itu berakhir tragedi yang menyayat hati keluarga mereka.
“Luruh jantung saya apabila mendapat panggilan telefon pagi tadi menyatakan abang terkorban dalam insiden letupan semalam”.
“Saya tidak dapat mengawal diri dan hanya mampu menangis sebelum menghubungi ibu dan ayah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.
Abang sedang membuat persediaan untuk berumah tangga
Faizul Ikhwan berkata, kerana tidak dapat bercuti ketika hari raya arwah abangnya baru pulang dari bercuti di Sungai Petani selama dua minggu.
“Saya sangat ralat tidak sempat bertemunya kerana dia ada menghubungi untuk bertemu kerana sudah membelikan mi sanggul yang dipesan kami dua beradik”.
“Abang juga baru membeli rumah di Bayu Damai, Pengerang dan sedang membeli perabot dan membuat ubah suai sebagai persediaan untuk berumah tangga namun hajatnya tidak kesampaian,” katanya.
Identiti kelima-lima mangsa berjaya ditemui
Sementara itu, media melaporkan lima mangsa rentung manakala seorang lagi parah dalam dalam insiden kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi.
Kejadian berlaku pada 10.50 malam tadi, empat mangsa yang maut adalah Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor dan Che Huzaidy Che Harun.
Jenazah mangsa kelima, Hadi Syafiq Jamil, yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui bomba 12.42 tengah hari tadi.
Manakala seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Arnado Alexander parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat dilaporkan melecur 40 peratus pada tubuhnya.
Anak mangsa baru berusia dua tahun
Selain itu, abang ipar seorang lagi mangsa terkorban, Nor Efendi Ismail, 49, berkata, dia sekeluarga terkejut apabila mendapat khabar adik iparnya, Norfazly, 32, adalah antara mangsa yang meninggal dunia dalam insiden kebakaran dan letupan itu.
Selepas menerima berita sedih itu daripada adik perempuan bongsu, Nor Siti Fazila Ismail, 32, memaklumkan suaminya terkorban, dia menjadi kelu.
“Adik saya seorang yang pendiam dan sangat menyayangi suaminya itu apatah lagi anak tunggal mereka baru berusia dua tahun”.
“Saya sangat sedih memikirkan keadaan mereka dua beranak. Kami sekeluarga sudah berbincang akan membawa jenazah Norfadzly untuk dikebumikan di kampungnya di Lipat Kajang, Jasin,” katanya.
Semoga segala urusan mangsa kebakaran dapat dipermudahkan dan ahli keluarga mangsa tabah.