Satu rakaman klip video telah tular di laman Twitter apabila diulang ciap oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail .
Menerusi perkongsian tersebut, ia memaparkan satu video berkenaan petikan sesi live yang bercerita tentang bagaimana lasaknya TMJ ketika menyertai sesi latihan ketenteraan satu ketika dahulu.
Mejar (B) Mohd Fitri yang merupakan seorang jurulatih sniper berkongsi cerita tentang TMJ yang pernah dilatih olehnya dahulu.
“Tahu tak baginda (TMJ) sebenarnya seorang jurulatih sniper? Kalau kamu hormat saya, baginda pun seorang jurulatih sniper.
“Lambang yang dipakai di seragam baginda itu bukan pakai ‘kosong’. Memang layak pun,”
Klip tersebut terus menjadi tular apabila TMJ telah berkongsi semula dan mengucapkan terima kasih kepada guru baginda tersebut.
“Terima kasih Melatih saya Tuan. Terima kasih juga kepada semua Jurulatih yang melatih saya selama ini. Semoga Tuan sekeluarga diberkati ALLAH SWT. Amin,”
Perkongsian daripada TMJ itu akhirnya sampai ke pengetahuan Tuan Mohd Fitri dan membuatkan beliau merasa sebak dan terharu.
Menurut Mejar (B) Mohd Fitri beliau tidak menyangka baginda masih ingat akan dirinya dan menggunakan panggilan ‘Tuan’ terhadapnya sedangkan gelaran untuk baginda jauh lebih tinggi.
“Saya tak ada Twitter. Jadi, minta kawan-kawan tolong check, adakah benar DYAM TMJ yang tweet ini?
“Jika benar, sebak hati saya. Tidak sangka bahawa baginda masih ingat pada saya yang kecil ini.
“Lihatlah, walaupun sudah 20 tahun berlalu, baginda tetap menghormati serta masih memanggil saya dan guru-guru baginda dengan panggilan ‘Tuan’.
“Sedangkan gelaran untuk baginda jauh lebih tinggi dari kami. Semoga TMJ diberi kesihatan dan kemuliaan di dunia dan akhirat,”
Rata-rata netizen menyampaikan rasa kagum dan bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh TMJ terhadap guru baginda.