Mungkin ini adalah masa terbaik buat anda yang mahu pergi bercuti di Pulau Langkawi.
Menerusi laporan Berita Harian sebanyak 45 pengusaha hotel di pulau peranginan bebas cukai itu bersetuju menurunkan harga bilik 30 hingga 70 peratus buat masa ini.
Perkara ini adalah bagi menarik kembali kehadiran pelancong susulan penularan coronavirus COVID-19.
Menurut Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis Razmi Rahmat, langkah itu dilaksanakan pengusaha hotel di bawah naungan persatuan itu bagi mengurangkan impak daripada kemerosotan kedatangan pelancong serta pembatalan tempahan hotel oleh pelancong China dan rakyat tempatan.
Beliau mengatakan tawaran diskaun itu bermula sejak penularan COVID-19 hingga tempoh yang akan diberitahu kelak.
Tambahnya lagi, orang ramai boleh memeriksa dalam talian di laman sesawang atau media sosial hotel terbabit.
Malah, tawaran diskaun ini diberikan oleh hotel tiga bintang dan ke atas.
“Sebagai contoh hotel tiga bintang ada tawaran menarik bermula RM150 hingga RM200 tidak lebih daripada RM250 semalam, sebelum ini kalau nak dapat hotel tiga bintang pada harga RM150 jarang, sekarang ini ada tawaran istimewa,”
Razmi turut menegaskan Langkawi selamat untuk dikunjungi dan seharusnya orang ramai mengambil peluang diskaun yang ditawarkan untuk datang bercuti ke pulau ini.
Menurutnya lagi keadaan di Langkawi sebanarnya selamat, masalah berlaku bila ada laporan tidak betul di media sosial yang menyebabkan ketakutan para pelancong.
Jadi, sekiranya anda berhasrat untuk mengunjungi pulau Langkawi, ini adalah masa terbaik memandangkan tidak perlu bersesak dan dapat diskaun yang agak banyak.