Connect with us

Semasa

Waktu Imsak Boleh Makan Sahur Lagi Ke? Ini Penjelasan Mufti WP

Bila anda terlewat bangun untuk bersahur dan hanya tinggal 2 minit sahaja sebelum masuk waktu imsak. Boleh ke aku makan sahur lagi ni? Ramai diantara kita masih lagi keliru sama ada kita boleh makan dan minum selepas masuknya waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh. Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh.

Mari kita ikuti penjelasan panjang lebar dan cukup jelas berkenaan persoalan ini oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri.

HUKUM MAKAN & MINUM SELEPAS WAKTU IMSAK

SOALAN:
Seperti yang kita ketahui  bahawa waktu imsak masuk 10 minit sebelum waktu subuh. Adakah dengan masuknya waktu imsak tersebut maka kita tidak lagi boleh untuk makan dan minum kerana telah bermulanya puasa?

JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara perkara-perkara sunat di dalam berpuasa adalah dengan mengakhirkan bersahur. Mengakhirkan di sini bermakna melewatkan proses bersahur tersebut. Seperti yang kita maklum, di Malaysia, masuknya waktu imsak adalah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh. Namun, kadang kala timbulnya persoalan dan kekeliruan adakah waktu imsak itu waktu bermulanya puasa.

Untuk membincangkan isu ini mari sama-sama kita renungi firman Allah SWT ini:

وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ

Maksudnya: dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)

(Al-Baqarah: 187)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya subuh (fajar sadiq) dari kegelapan malam.[1]

Terdapat beberapa hadith yang lain menceritakan tentang sifat sahur Nabi ﷺ serta arahan Baginda ketika bersahur, antaranya:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.

Maksudnya: Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.

Riwayat Al-Bukhari (1921) & Al-Tirmizi (703)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di mengatakan kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat yang terlalu pendek.

Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum”.

Riwayat al-Bukhari (620)

Ketika zaman Rasulullah ﷺ , azan subuh dilaungkan sebanyak dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu subuh untuk memberikan peringatan manakala azan yang kedua bermaksud telah masuknya waktu subuh.

Merujuk hadith di atas, Bilal RA azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu subuh (diiktibarkan pada waktu malam).

Maka, Rasulullah ﷺ memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu tersebut (untuk bersahur). Sekiranya telah azan Ibn Umm Maktum RA untuk azan yang kedua, maka ia menunjukkan bahawa waktu subuh telah masuk dan telah bermulanya waktu berpuasa.

Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ menyebutkan:

“Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya.

Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar dan ‘Aisyah R.Anhum yang mana Rasulullah ﷺ bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ (hadith seperti di atas)…”.[3]

KESIMPULAN

Apabila kita merujuk kepada dalil serta nas yang terdapat di dalam perbahasan ini, kami katakan di sini bahawa waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa.

Makanya pada tempoh tersebut dibolehkan lagi untuk makan dan minum. Namun, sekiranya telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka.

Selain itu, kami melihat bahawa waktu imsak yang selama 10 minit itu ada asasnya sebagai waktu untuk ihtiyat (berjaga-jaga) agar tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan yang mana boleh membatalkan puasa seseorang itu.

Oleh itu, kami amat bersetuju dengan waktu imsak ini dan sekiranya seseorang yang bangun lewat untuk bersahur dan masa masih berbaki untuk beliau bersahur di dalam waktu imsak, maka ianya dibolehkan dan ianya tidak pula memudharatkan puasanya pada hari tersebut.

Disamping itu, kami mencadangkan agar sahur itu diselesaikan sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan agar tidak timbul syubhah (keraguan).

Akhir kalam, suka untuk kami menyebutkan antara hikmah mengapa disunatkan untuk melewatkan sahur itu, agar muslim khususnya lelaki dapat terus bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh yang mana jika seseorang itu mengawalkan sahurnya, boleh jadi dia akan tidur sejurus selepas bersahur dan kebarangkalian untuk dia terlepas waktu subuh amat besar.

Amat tidak patut bagi seseorang muslim itu mengejar yang sunat namun meninggalkan perkara yang wajib.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

*Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat dan kebaikan kepada semua pembaca. Marilah kita sama-sama bangun sahur walaupun dengan hanya minum air dan memakan kurma. Selamat beramal.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.