Seperti yang diketahui umum, kes wabak Covid-19 teus meningkat setiap hari begitu juga dengan angka korban yang bertambah.
Ketika ini rakyat perlu duduk dirumah masing-masing dan hanya barisan hadapan negara yang masih dibenarkan untuk bekerja untuk negara.
Pelbagai kisah yang dikongsi di media sosial mengenai pengorbanan dan ketabahan barisan hadapan yang tetap bekerja walaupun terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Pak Nil berkongsi pengalaman jururawat bertugas untuk Covid-19
Sementara itu, menerusi laman Instagram, Datuk Aznil Haji Nawawi berkongsi perbualan yang cukup beremosi dengan seorang jururawat.
Jururawat yang dikenali sebagai Nurul itu merupakan salah seorang dari barisan hadapan yang bertugas di Hospital Seremban.
Menurut Nurul, dia dipinjamkan daripada unit rawatan jantung untuk memenuhi keperluan rawatan pesakit Covid-19 di Malaysia.
Jamak solat dan menahan lapar sehingga PPE dibuka
Selain itu, dia turut berkongsi kesukaran pemakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di mana setiap kakitangan terpaksa mengenakan sut berkenaan sehingga 18 jam sehari.
Atas sebab itu, kebanyakan frontliner terpaksa menjamak solat fardhu dan menahan lapar sehingga PPE dibuka dan terus dilupuskan.
“Kami sendiri tiada kepastian bila keadaan akan beransur pulih. Ramai kawan-kawan di Hospital Sungai Buloh sudah lama tidak pulang ke rumah kerana kekurangan kakitangan,”ujarnya.
Tidak berjumpa anak kerana tidak mahu mereka berisiko
Menurutnya lagi, kakitangan yang bertugas di Unit Rawatan Rapi pula terpaksa bekerja lebih daripada 18 jam sehari bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sepenuhnya.
Apa yang lebih menyentuh hati apabila menyentuh perihal anak. Jelas Nurul, dia sudah lama tidak berpeluang bertemu dan memeluk anaknya.
“Saya tidak dapat berjumpa mereka sejak cuti sekolah bermula. Saya terpaksa menghantar kedua-dua anak untuk dijaga oleh adik. Saya merupakan ibu tunggal.
Ini kerana dia tidak mahu merisikokan nyawa mereka. Malah, Pak Nil turut terkedu saat Nurul menyatakan statusnya sebagai ibu tunggal.
Saya akan buat panggilan video dengan anak
Ekoran itu, salah satu cara yang paling berkesan untuk berhubung dengan anaknya adalah menerusi panggilan video.
“Selalunya kami akan buat panggilan video dan mereka selalu akan bertanya bila ibu boleh balik, bila kita boleh makan bersama, bila nak keluar jalan bersama. Saya hanya mampu menjawab, bila keadaan sudah reda”.
Saya mahu balik ke rumah dan berjumpa anak
Disamping itu, Nurul turut berpesan supaya kita semua berjuang melawan wabak ini dan mahu pulang ke rumah bertemu anak-anak.
“Bukan tidak takut terkena jangkitan namun kita kena ikhlaskan diri. Selama mana kita harus melawan wabak ini jika kita tidak berjuang”.
“Apa yang membuatkan saya terus berjuang dan bertahan merawat pesakit ialah saya mahu balik ke rumah dan jumpa anak-anak, saya tidak mahu terus begini”.
Ada jururawat terpaksa putuskan susu untuk tidak merisikokan anak
Sementara itu, Nurul turut mendapat semangat dari ayahnya yang berpesan supaya sentiasa berdoa dan kuat demi anak-anaknya.
“Ayah berpesan, saya kena teruskan berdoa dan jangan putus berdoa kepada Allah, dan kena kuat untuk anak-anak”.
Nurul turut berkongsi pengalaman jururawat lain yang turut berkorban demi anak-anak dan tidak mahu merisikokan anak-anak mereka dengan wabak ini.
“Namun ada frontliner yang punya anak-anak yang masih kecil terpaksa putuskan susu badan kerana tidak mahu risikokan nyawa anak”.
Ibu janji akan pulang sambil menitiskan air mata
“Apa yang boleh saya pesan kepada rakan-rakan seperjuangan, ikhlaskan hati, kuatkan diri. Kita kena berjuang sehingga wabak ini tamat, kita berjihad kerana Allah,” luahnya sambil mengalirkan air mata.
Selain itu, Nurul turut menitipkan pesanan buat dua anak lelakinya dan berjanji akan pulang selepas semuanya tamat.
“Ibu harap semuanya akan berakhir dengan cepat, ibu akan balik ambil anak-anak ibu dan akan peluk kamu setiap malam”.
“Ibu janji ibu akan balik. Doakan ibu terus kuat,” katanya menahan sebak.
Semoga kita sama-sama bekerjasama dan mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan dan negara kembali aman