Seorang wanita yang merupakan ibu tunggal telah menerima kejutan ‘hadiah’ dari arwah suaminya.
Menerusi laporan Harian Metro, wanita tersebut yang dikenali sebagai Ida memberitahu suaminya telah ‘pergi’ akibat kemalangan jalan raya.
“Pemergian suami secara mengejut akibat kemalangan ketika anak-anak sedang membesar bukan sesuatu yang mudah diterima,”
Menurut Ida, dia bagaimanapun menerima kejutan semalam apabila dikunjungi wakil syarikat insurans bagi menyerahkan sejumlah wang RM414,302 dianggap ‘hadiah’ dari arwah suaminya yang sudah tiada.
“Bagi saya ini satu kejutan kerana tidak menyangka dia ada membuat caruman insurans diri. Ini pastinya amat membantu kami lima beranak walaupun saya mempunyai pekerjaan tetap.
“Suami meninggal dunia pada pagi 5 Mac lalu selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah syarikat swasta,” kata ibu kepada empat orang anak berusia empat hingga 17 tahun ini.
Ida berkata, memang berat ujian Allah SWT kerana arwah suami ‘pergi’ di saat anak-anak mula membesar dan memerlukan perhatian.
“Saya benar-benar tidak tahu arwah ada membuat caruman insurans. Saya akan gunakan wang ini untuk pendidikan anak-anak.
“Sebelum ini ada wakil syarikat insurans menghubungi saya memaklumkan suami ada mencarum, tetapi tidak memaklumkan jumlahnya.
“Memang saya terharu hari ini (semalam) apabila dikunjungi wakil syarikat insurans dan memberitahu arwah ada meninggalkan sejumlah wang yang agak banyak selepas mencarum tidak sampai dua tahun,” katanya yang berasal dari Ajil, Terengganu.
Hukum takaful
Menerusi carian di laman Jabatan Mufti Pahang, hukum pelaksanaan takaful adalah harus dengan syarat ianya mematuhi prinsip syariah dalam polisi perlindungannya.
Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya.
Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya.
Oleh kerana terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah dengan prinsip syarak seperti riba (faedah), maisir (perjudiian) dan gharar (ketidakjelasan), maka masyarakat wajib untuk memilih skim takaful yang diiktiraf sebagai patuh syariah.
Amalan Takaful yang dipraktikkan sekarang menggunakan gabungan dua jenis akad (kontrak) utama.
Ianya adalah kontrak Tabarru’ (derma) dan Wakalah (egensi) yang bebas daripada sebarang unsur riba, maisir dan gharar.