Ramadhan Al Mubarak bakal berkunjung kembali pada tahun ini membuatkan ramai yang teruja menjelang ketibaanya sebagai bulan yang penuh dirahmati.
Malah ramai juga yang orang bukan islam menunggu ketibaan bulan puasa kerana kemeriahan dan kepelbagaian juadah yang hanya boleh anda temui menjelang bulan puasa.
Ini menyebabkan penggemar makanan tidak sabar untuk kembali membeli juadah di bazar ramadhan yang rata-ratanya menjual pelbagai jenis kuih-muih, lauk pauk dan pelbagai jenis juadah yang susah ditemui pada hari biasa.
Pada masa yang sama, bagi ibu yang menyusu dan mengandung bulan puasa agak mencabar bagi mereka kerana bukan mudah untuk mereka menahan lapar dan dahaga ketika sering berbadan dua atau sedang menyusukan anak.
Ini kerana pada hari biasa juga golongan ini kerap lapar dan dahaga kerana mereka menyusukan anak dan turut terkesan adalah ibu mengandung.
Menurut kajian sebenarnya mereka telah mendapati bahawa berpuasa tidak akan membahayakan kandungan mahupun menjejaskan penghasilan susu ibu.
Apa yang penting adalah, para ibu perlu mengamalkan pemakanan yang sihat serta mengambil jumlah air yang mencukupi untuk tubuh badan mereka.
Ini merupakan 9 stok makanan wajib yang perlu ada dan membantu supaya anda lebih bertenaga ketika menjelangnya bulan puasa.
1. ROTI WHOLEMEAL
Bagi ibu hamil dan ibu yang menyusu, mereka perlu bijak dalam memilih makanan yang paling bagus dan bertenaga untuk diri dan juga bayi.
Sumber karbohidrat kompleks yang paling mudah didapati adalah roti wholemeal. Gardenia pun sekarang dah ada roti multi grain yang rendah kandungan glycemic index (GI).
Selain itu juga, anda boleh menukarkan beras biasa kepada beras perang kerana karbohidrat mengambil masa yang lama untuk dihadam dan mereka akan berasa kurang lapar.
Kandungannya yang kaya dengan serat pula berfungsi untuk mengelakkan masalah sembelit akibat kekurangan air.
2. TELUR REBUS
Makanan kedua adalah telur yang bukan sahaja murah dan senang diperolehi. Telur menyimpan banyak khasiat dan kebaikan buat sibu serta membantu perkembangan janin yang sihat. Seperti yang kita tahu, telur kaya dengan protein dan lemak asid omega 3.
Pengambilan omega 3 dapat meningkatkan penghasilan asid lemak baik dalam susu badan. Kuning telur pula mengandungi vitamin D untuk kesihatan tulang ibu serta perkembangan tulang bayi dalam kandungan.
3. SUSU & YOGURT
Selain itu, susu segar juga mampu membekalkan kalsium, protein dan vitamin B dan D secara harian untuk ibu. Pengambilan susu secara rutin juga sangat penting kerana ia dapat membantu memastikan kesihatan tulang ibu dan bayi dalam kandungan.
Jika anda tidak suka minum susu putih, anda juga boleh campurkansusu tadi dengan buah-buahan menjadi smoothies dan seeloknya jangan tambah gula kedalam susu tadi.
Disamping itu, ibu juga boleh mengambil produk tenusu dari sumber lain seperti yogurt atau keju. Yogurt salah satu superfood kerana ia bukan sahaja membekalkan kalsium, malah mengandungi bakteria baik bagi melancarkan sistem pencernaan ibu.
4. KURMA
Kebaikan buah kurma yang diketahui umum memang tidak dapat disangkal lagi terutama buat para ibu. Islam juga turut mengajar kita untuk menerapkannya dalam diet pada bulan Ramadhan sebagai sunnah.
Kandungannya kurma diperkaya dengan khasiatnya yang kaya dengan zat besi dan kalsium dalam membantu melancarkan penghasilan susu ibu yang berkualiti.
Buat ibu hamil pula, amalan memakan buah kurma amat baik dalam membantu merangsang hormon dalam badan yang dapat mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
Di samping itu juga, ia membantu dalam merangsang otot bagi memudahkan proses melahirkan anak. Antara resepi yang paling popular setiap bulan Ramadhan adalah jus kurma susu.
5. OAT
Oat seringkali menjadi pilihan pengamal makanan sihat walaupun ketika bulan puasa kerana kesan baiknya pada kesihatan jantung. Bukan itu sahaja, ia juga disyorkan untuk ibu hamil dan menyusu kerana mengenyangkan di samping membekalkan tenaga serta melancarkan sistem penghadaman.
Seperti yang kita ketahui rasa oat tawardan anda boleh mengatasinya dengan mempelbagaikan pengambilannya dengan buah-buahan segar atau kering. Banyak resepi overnight oat yang boleh dicuba supaya tidak bosan makan bijrin ini.
6. SAYURAN HIJAU
Makanan seterusnya adalah sayur-sayuran hijau seperti bayam dan sawi yang amat baik untuk kesihatan menyeluruh lebih-lebih lagi buat ibu hamil atau yang menyusukan bayi. Pengamalan sayur dalam diet dapat membantu menambahkan kandungan lemak baik dalam susu badan serta mampu membekalkan tenaga sepanjang hari.
Kalau anda ‘alergik’ makan sayur, anda boleh kisarkan campuran bayam, strawberi, yogurt vanilla dan susu segar untuk dijadikan smoothie. Sedap tau!
7. BADAM
Selain pelbagai kebaikan memakan kurma, kacang badam juga tidak kurang hebatnya. Badam merupakan snek yang disarankan untuk amalan pemakanan ibu mengandung yang sihat dan juga untuk ibu menyusukan anak.
Ia bukan sahaja berfungsi dalam membanyakkan susu badan, malah ia juga merupakan sumber alternatif protein yang baik.
Badam kaya dengan lemak semulajadi dan folat yang tinggi untuk kesihatan ibu dan anak dalam kandungan. Ia juga dipercayai membekalkan 20 kali ganda protein berbanding bijirin lain.
Di samping itu, badam dapat membantu para ibu mengekalkan tahap kesihatan dengan mengurangkan paras kolesterol dalam badan dan darah tinggi serta kencing manis.
Kacang badam enak dimakan begitu saja atau cincang halus untuk dinikmati bersama overnight oats. Ia merupakan yang istimewa semasa anak masih dalam kandungan
8. BUAH-BUAHAN
Cuba elakkan diri ke pasar Ramadhan untuk membeli kuih dan gantikan dengan ke pasar / pasaraya untuk membeli buah.
Buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti buah tembikai, betik dan buah naga memiliki vitamin C selain membantu supaya ibu-ibu kekal hidrat. Daripada beli air manis, para ibu juga boleh mengisar buah menjadi jus untuk berbuka nanti.
9. AIR KOSONG
Kandungan air yang tinggi dalam badan ibu juga adalah merupakan faktor utama bagi penghasilan susu yang lancar. Kekurangan air juga boleh membuatkan anda cepat letih, terutamanya ketika berpuasa.
Sediakan botol air yang diisi sebanyak 2-3 liter dan letakkan berhampiran anda setiap kali selepas berbuka. Ini akan mengingatkan anda tentang jumlah air yang perlu diminum supaya kekal hidrat.
Anda perlu buat keputusan yang bijak kerana pelbagai juadah yang ‘menggoda’ pada bulan puasa ini, jadi para ibu perlulah membuat pilihan yang bijak dalam mengawal nafsu untuk mengelakkan pengambilan makanan berlemak, berminyak dan makanan manis.
Pelbagaikan makanan berkhasiat dengan mencuba pelbagai resepi sihat yang boleh dicari di internet. Mudah-mudahan ibu-ibu berpeluang merebut ganjaran serta menghayati bersama bulan Ramadhan yang cuma datang setahun sekali ini.
Semoga perkongsian kali ini memberikan pembaca manfaat dan kelebihan dalam membantu menghadapi bulan ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Selamat berpuasa kepada seluruh umat islam dan semoga ramadhan kali ini memperoleh keberkatan.