Sunway Lagoon mengambil serius aduan penyanyi Stacy Anam berhubung dua kakitangan mereka yang didakwa memperlekehkan dia dan suaminya, lapor HMetro.
Menerusi komen yang ditinggalkan di Instagram Stacy, taman tema itu menjelaskan akan menyiasat perkara berkenaan.
“Terima kasih kerana tampil memberi maklum balas mengenai insiden yang berlaku.
“Kami kesal dengan pengalaman buruk yang dilalui. Untuk pengetahuan, kami sedang menyiasat perkara ini.
“Pihak pengurusan juga tidak akan menerima sebarang tindakan dan perilaku yang tidak baik. Kami akan mengambil tindakan. Terima kasih,” katanya.
Sementara itu, Stacy berterima kasih dengan maklum balas pihak taman tema terbabit.
“Saya mengambil langkah memuat naik perkara ini kerana sebagai pengunjung perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana kami membayar tetapi kami mendapat layanan yang kurang baik daripada kakitangan anda.
“Siapa nak menerima layanan sebegini? Saya berharap ia menjadi pengajaran untuk kedua pihak.
“Wang ringgit yang dikeluarkan adalah untuk datang bergembira bersama keluarga,” tulisnya.
Dalam pada itu, Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & Majistret berkata, layanan sebegini sudah biasa dilalui golongan artis.
“Selalunya saya buat tak tahu je. Hari ini isteri yang sedang urus anak-anak yang tengah meragam terdengar pula suara yang kurang enak.
“Untuk saya perkara sebegitu sudah biasa dilalui oleh artis. Mungkin ada hikmah benda ini untuk semua pihak termasuklah pengurusan dan apapun pekerjaan.
“Dengan era yang serba canggih dan kita nak melangkah ke tahun 2020, harap semua ada peningkatan dari segi kesopanan dan kesusilaan,” tulisnya.
Sebelum ini kecoh di media sosial apabila Stacy Anam berang dirinya diperlekehkan dua petugas di sebuah taman tema air terkenal di Lembah Klang.
Stacy berkata, petugas itu dengan sengaja berniat untuk memalukan dia bersama suami yang juga penyanyi Akim Ahmad yang ketika itu sibuk menguruskan dua anak mereka untuk masuk ke taman itu.
“Ingatkan saya seorang saja yang kena, rupanya suami pun sama. Kami penat urus anak yang meragam boleh pula kakitangan di situ ‘menganjing’ depan-depan.
Saya tak kisah kalau tak kenal kami tapi janganlah sampai memperlekehkan. Maaf ya kami datang bukan untuk minta dikenali atau dengar perbualan sinis itu. “Perlu ke nak mengumpat sampai terjerit-jerit hingga kami dengar apa yang diperkatakan?,” tulis Stacy di akaun Instagramnya.
“Kamu ingat kami binatang yang membawa anak-anak. Kami tak nak apa-apa, cuma jangan terbawa-bawa sikap kurang ajar ke tempat kerja.
“Yang datang bukan masuk percuma. Jadi tolong jaga bahasa dan tingkah laku. Harap-harap ada ganjaran besar menanti kamu atas tindakan dibuat itu,” tulisnya