Individu yang didakwa menjadi mangsa dibelassah sekumpulan YouTuber ketika perlawanan futsal di Subang baru-baru ini, Rahimie Effandie akhirnya tampil bersuara.
Menceritakan semula detik-detik ketika berdepan sekumpulan lelaki pada Jumaat lalu, kata Rahimie dia merupakan individu yang cuba mendamaikan ketika dua kumpulan bergeser pendapat ketika perlawanan sedang berlangsung.
Bagaimanapun Rahimie tidak menyangka dia menjadi sasaran kumpulan terbabit hingga diperlakukan dengan teruk.
“Saya tak kenal mereka, saya datang hanya untuk main futsal. Kejadian berlaku bermula dengan perselisihan faham, itu normallah dalam bola sepak (atau futsal) sebab itu sukan yang melibatkan sentuhan.
“Saya cuba meleraikan dan cakap dengan mereka kenapa perlu nak bergaduhh?
“Kalau nak bergaduhh pergi cari gelanggang. Kalau datang ke sini nak main (futsal), teruskan bermain.
“Dia terus tak henti bercakap, jadi saya tanya dia apa lagi yang tak puas hati? Kemudian saya minta pasukan saya datang dan minta maaf kepadanya. Dia cakap maaf kemudian beransur pergi.
“Tidak lama selepas itu dia datang balik bersama sekumpulan geng dan ada yang mula menjerit-jerit tanya siapa yang pukul saudara dia. Kemudian, ada seseorang yang menuding ke arah saya.
“Padahal, saya orang yang meleraikan pergaduhan itu,” ceritanya menerusi sepotong video yang dimuat naik oleh Caprice.
Dedah Rahimie, dia dipukul berulang-kali oleh kumpulan terbabit hingga ada yang dipercayai memukulnya menggunakan walkie talkie.
“Mereka mula membelasah saya, pertama, kedua, dan ketiganya dengan menggunakan walkie talkie.
“Saya hanya fikirkan ibu saya, isteri saya, anak perempuan saya dan ayah saya. Saya fikir saya akan mati,” tambah Rahimie.
Jumaat lalu tular sepotong video berdurasi 8 saat di media sosial yang menunjukkan aksi sekumpulan YouTuber bersama rakan-rakannya bertindak ganas memukul seorang pemain futsal hingga cedera.
Kejadian yang berlaku di Gelanggang Futsal Ferro di Subang sekitar pukul 10.20 malam itu difahamkan tercetus ekoran salah faham.
Dalam pada itu, menerusi ciapan pengguna di Twitter, ada pihak yang mendakwa YouTuber terbabit pada mulanya menjadi mangsa dipukul kumpulan Rahimie sebelum mendapatkan bantuan daripada kenalannya.
Menafikan perkara terbabit, tegas Rahimie tiada sebarang pergaduhan melibatkan sentuhan sehingga individu terbabit keluar dari gelanggang.
Rahimie juga menafikan dia dan kumpulannya berpakat untuk membelasah YouTuber itu selepas berlaku perselisihan pendapat secara verbal.
Ditanya kesediaan untuk berdamai dengan pihak terbabit kata Rahimie; “Saya hanya mahukan keadilan, itu saja.”
Terdahulu, Isa Isarb selaku ketua mewakili Isarb Clan serta rakan kepada Isarb Hafiz tampil menjelaskan keadaan sebenar di Instagram miliknya.
Menurut Isa, pihaknya salah memukul orang dan menyangka Rahimie adalah orang yang memukul Hafiz. Malah, Isa turut telah membayar pampasan kepada Rahimie.
Menerusi penerangan yang dibuat Isa Isarb, pada malam itu dia telah mendapat panggilan daripadanya rakannya memaklumkan Isarb Hafiz dipukul beramai-ramai di pusat futsal.
Mengenangkan rakannya serta mengakui dirinya mengikut emosi ketika itu, dia bersama kumpulannya terus ke pusat futsal berkenaan.
Setibanya di pusat futsal, Isa memaklumkan melihat rakannya dipukul di mana dia bersama kumpulannya cuba untuk membalas dendam kembali.
Isa turut mengakui terdapat perselisihan cerita mengenai isu yang berlaku di mana terdapat pihak yang memaklumkan Rahimie yang cuba memukul Hafiz manakala terdapat yang mengatakan pihak lain yang menyerang Hafiz.
Isu menjadi lebih besar apabila dimaklumkan Rahimie bukanlah individu yang memukul Hafiz pada awalnya sebaliknya individu lain.