Sejak dulu lagi terlalu banyak perbalahan dan pendapat antara pemilik kereta tentang waktu yang sesuai mengisi minyak petrol. Rata-ratanya percaya mengisi petrol pada waktu malam lebih menjimatkan duit.
Sebaliknya jika mengisi petrol pada waktu siang atau dalam keadaan panas, kandungan gas adalah tinggi dan haba petrol akan bercampur dengan lebihan gas dalam kandungannya. Namun sejauh manakah kebenaran mitos ini?
Menerusi sebuah video yang dikongsikan oleh Pak Cik Shell atau nama sebenarnya Shairan Huzani di Instagram, teori mengisi petrol pada waktu malam lebih baik daripada waktu siang adalah mitos semata-mata.
Bukan sekadar bercakap kosong, dia turut membuktikan mengapa teori yang dipercayai orang ramai itu salah. Dalam uji kaji yang dibuatnya di stesten minyak Shell, didapati langsung tiada beza daripada segi kuantiti minyak pada waktu pagi atau malam.
Jelasnya, ini kerana jumlah kuantiti minyak tetap sama disebabkan cecair petrol yang disimpan dalam tangki bawah tanah setiap stesen mempunyai suhu yang stabil dan terkawal.
Pak Cik Shell telah menjawab kekeliruan orang ramai yang sebenarnya teori yang telah lama diguna pakai oleh orang ramai ini tidak memberi apa-apa keuntungan langsung.
Sebelum ini, ramai yang terpedaya mengisi petrol pada waktu pagi agak rugi kerana minyak akan ‘mengembang’ manakala pada waktu malam pula lebih menguntungkan apabila minyak menjadi ‘padat’ kerana sejuk.
Dalam pada itu, uji kaji yang dijalankan Pak Cik Shell dibuat secara praktikal untuk diperlihatkan kepada orang ramai secara jelas. Malah, peralatan yang digunakan dalam uji kaji pula selamat dan dipantau agar tiada kemalangan berlaku.
Di ruangan komen, ramai yang mengaku mereka di antara yang percaya dengan ‘ajaran sesat’ tersebut serta mudah terpedaya dengan kata-kata orang lain tanpa bukti.
Warganet turut berterima kasih kepada Pak Cik Shell kerana telah memberi penjelasan yang tepat dan jelas. Oleh itu, selepas ini bolehlah orang ramai mengisi petrol tanpa mengira waktu siang mahupun malam.
Berikut antara komen-komen yang diberikan oleh warganet di Instagram
“Tq sharing pakcik 👍”
“Haha saya pun tpengaruh ngn kata2 dusta tu semua 😂😂”
“thank u tuan. well explained and a good experiment 🙏🏻”
Hantaran yang tular di laman Instagram