Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 ditemui meninggal dunia di tepi sebuah jalan menghala ke Muadzam Shah, Pahang.
Lelaki tersebut dikatakan sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya di Kuala Terengganu dari tempat tinggalnya di Segamat, Johor.
Menurut Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal, mangsa yang berusia 30 tahun itu disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan ketika bedah siasat dijalankan terhadap jenazahnya yang dibawa dari Hospital Muadzam Shah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.
Rafie juga memaklumkan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah perkuburan islam Setali, Kuantan.
“Alhamdulillah, jenazah Almarhum Mohd Haszlee bin Hashim selamat disemadikan sebelum Zohor tadi di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.”
Terlalu rindukan anak
Menurut Rafie, Allahyarham terlalu merindui anaknya di kampung dan bertekad untuk pulang walau dengan berjalan kaki dari Segamat.
“Oleh kerana terlalu rindukan anaknya di kampung, arwah berkeras juga untuk pulang walaupun dengan hanya berjalan kaki setelah sekian lama terpisah dengan keluarganya semenjak PKP bermula.”
Walaubagaimanapun, di pertengahan jalan, Allahyarham kelihatan tidak bermaya dan dibantu anggota Sekatan Jalan Raya.
“Di pertengahan jalan, ada sumber memaklumkan kepada kami yang arwah ada melintasi kawasan Sekatan Jalanraya (SJR) tempat anggota tersebut bertugas dan arwah dilihat dalam keadaan lemah tidak bermaya.
“Atas ehsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya itu. Namun arwah berkeras juga untuk pulang berjalan kaki yang dimulakannya sejak pagi Jumaat, 08 Mei 2020 yang lepas.”
Waris bimbang keselamatan
Pihak waris telah meminta pihak berkuasa mengesan kedudukan Allahyarham setelah gagal untuk menghubung serta bimbang dengan keselamatan dirinya.
Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila jenazah Allahyarham ditemui pada hari Isnin.
“Sehinggalah arwah ditemui telah meninggal dunia di tepi jalan menghala ke Muadzam Shah pada tengahari Isnin, 11 Mei 2020. Innalillahi wainna ilaihi roojiiun.”
Keluarga redha pemergian Allahyarham
Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarganya.
“Kakak arwah yang menghubungi kami memaklumkan arwah adiknya itu sangat bertanggungjawab pada keluarganya.”
Walaupun terkejut dengan khabar berita pemergian Allahyarham, kakak dan keluarganya tetap redha dan menerima suratan takdir tersebut.
Jenazah kemudiannya dibawa dari Hospital Muadzam Shah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk urusan saringan Covid-19.
Waris ucap terima kasih
Pihak waris mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan dalam menyempurnakan jasad ahli keluarga mereka.
Rafie juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyempurnakan jenazah tersebut.
“Terima kasih juga kami ucapkan kepada pihak Unit Forensik HTAA, Kuantan, pasukan PDRM & KKM, pihak Tanah Perkuburan Islam Setali, pasukan SPJM Negeri Pahang yang diketuai Hj. Yuseri dan semua yang terlibat dalam membantu menyempurnakan urusan jenazah ini.
“Sesungguhnya apa yang berlaku adalah kehendak Allah swt. Jika Allah swt menetapkan ajal seseorang itu di sesuatu tempat, Allah pasti akan mendorongnya ke tempat tersebut walau dengan pelbagai cara sekalipun.
“Begitulah situasinya dengan arwah tersebut. Ajalnya memang telah ditetapkan di situ.
“Oleh sebab itulah dia begitu nekad dengan keputusannya untuk berjalan kaki dari Segamat ke Kuala Terengganu walaupun jarak perjalanannya itu sejauh lebih 400 kilometer!
“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh & semoga ahli keluarganya redha dan tabah menerima ujian yang ditetapkan Allah ini.”
Dalam pada itu, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kematian ke-110 (kes ke-6,743) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.
Walau bagaimanapun, punca jangkitan masih belum dikenalpasti serta masih dalam siasatan.