Apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti ramai yang mengambil kesempatan untuk berkumpul sesama ahli keluarga di kampung halaman bagi memeriahkan lagi sambutan lebaran.
Pastinya rumah akan menjadi sesak dan ramai yang memilih untuk menyewa hotel atau homestay untuk lebih selesa.
Sekalipun trend ‘sewa hotel ketika pulang ke kampung’ boleh dikatakan agak normal, namun kadang kala ia menimbulkan tanggapan negatif sesetengah pihak.
Memetik laporan mStar, pendakwah bebas iaitu Ustazah Asma Harun menerusi satu hantaran di Facebook menghuraikan perkara berkenaan daripada sudut agama agar semua pihak dapat memahami situasi dan bersikap berlapang dada.
“Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi trending. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara.”
“Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.”
“Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur.”
“Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahuakbar,” tulisnya.
Tambah Asma, berdasarkan pengalamannya sebagai seorang perunding cara rumah tangga sebelum ini, ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi bermula dengan situasi sedemikian di kampung.
“Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak.”
“Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.”
“Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, walaupun dah dua tahun tak beraya dengan anak-anak, lama tak balik, maka fahami dulu situasinya kenapa.”
“Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri,” tulisnya.
“Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam di rumah ibu bapa, perlulah berikan sebab yang berkaitan syarak, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.”
“Pada waktu selain rehat malam, maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.”
“Janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak.”
“Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah,” terang Asma lagi.